Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 17 JULAI 2026 : Seorang lelaki ditahan bersama rampasan bernilai kira-kira RM555,000 dalam satu serbuan melibatkan pendudukan tidak sah di atas tanah milik Kerajaan Negeri di Blue Valley oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP).
Menurut Ketua Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), Encik Saifullah Muhammad Ali, lelaki warga tempatan yang merupakan pengusaha stor penyimpanan sayur berkenaan ditahan bersama 18 pekerja termasuk enam warganegara asing.

“Dalam operasi pada jam 11 pagi, pihak UPNP bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) telah melaksanakan Operasi Transformasi Task Force (TTF) Cameron Highlands berkaitan kesalahan di bawah Kanun Tanah Negara (Akta 828) di Blue Valley, Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands.
“Ketika di lokasi, didapati terdapat aktiviti pengumpulan dan penyimpanan sayuran serta beberapa bangunan yang disyaki dijadikan pejabat dan stor di atas tanah kerajaan. Pihak kami telah menahan 12 individu warganegara Malaysia serta masing-masing tiga warganegara Myanmar dan Indonesia yang sedang menjalankan aktiviti pemunggahan sayuran di kawasan tersebut.

“Kami kemudiannya didatangi oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai pengusaha stor tersebut, namun gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kelulusan berkaitan aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas tiga kenderaan pacuan empat roda, sebuah lori tujuh tan, dua unit forklift serta 17 tan sayuran pelbagai jenis di lokasi serbuan yang dianggarkan bernilai RM555,000.
Beliau berkata, 12 warganegara Malaysia dan tiga warganegara Indonesia yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis, manakala pengusaha serta tiga warganegara Myanmar diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Tiga warga Myanmar ditahan kerana tidak memiliki dokumen sah, manakala pengusaha tersebut ditahan atas kesalahan menggaji warga asing secara tidak sah.
“Kesemua kenderaan dan barangan rampasan disimpan di Tapak Sitaan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang Zon Pahang Barat.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara (Akta 828) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya. -PAHANGMEDIA

