Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
CAMERON HIGHLANDS, 16 JULAI 2026 : Seramai 113 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selepas pemeriksaan terhadap 145 individu dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu di Habu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang dalam kenyataan memaklumkan operasi yang bermula 2 petang itu melibatkan tapak pembinaan bangunan bercampur yang dipercayai menggaji warga asing.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 81 warga Bangladesh, 29 warga Indonesia, 2 warga Nepal, dan seorang warga Myanmar membabitkan 107 lelaki dan 6 wanita.

“Kesemua mereka ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 melibatkan kesalahan Seksyen 6(1)(c) seramai 61 orang; Seksyen 15(1)(c) seramai 26 orang; Seksyen 56(1)(l) seorang; dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 (27 orang),” katanya.

Menurut kenyataan tersebut kesemua warga asing terlibat ditahan dan dibawa ke Pejabat Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pahang untuk siasatan lanjut.

Seramai 70 pegawai daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang, Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP), dan Pasukan Gerakan Am (PGA) diketuai Ketua Operasi JIM, Tuan Mohamad Rauuf Ismail terlibat dalam operasi berkenaan. -PAHANGMEDIA

