Oleh : Ummul Qistina Sofea & Zeti Akhtar Lokman
KUANTAN, 16 JULAI 2026 : Program Ziarah Kasih Speaker Dewan Negeri Pahang diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan bekas Ahli Dewan Negeri Pahang yang telah banyak menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan negeri sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.
Program tersebut diketuai oleh YB Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar Haji Shamsuddin bersama Timbalan Speaker DUN Pahang, YB Tuan Lee Chin Chen, dengan mengadakan kunjungan kepada tiga bekas Ahli Dewan Negeri Pahang iaitu Lee Ah Wong, bekas ADUN Cheka; YH Dato’ Rahim Muda, bekas ADUN Lepar; serta YH Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, bekas Speaker Dewan Negeri Pahang yang juga bekas ADUN Bebar.
Menurut Dato’ Sri Haji Mohd Sharkar, program berkenaan bertujuan menziarahi serta bertanya khabar bekas Ahli Dewan Negeri Pahang, selain memastikan urusan berkaitan kebajikan mereka sentiasa diberi perhatian.
“Tujuan kita lawatan ini adalah untuk bertanya khabar dan dalam masa yang sama memastikan pengurusan yang berkaitan dengan Jabatan Speaker berjalan dengan baik seperti perlindungan kesihatan yang memerlukan surat-surat untuk pemeriksaan kesihatan ataupun perkara lain seperti pencen dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata, jasa dan sumbangan bekas Ahli Dewan Negeri Pahang perlu dihargai memandangkan mereka pernah memainkan peranan penting sebagai pembuat dasar serta menyumbang kepada pembangunan negeri.

“Kita kena hormati mereka kerana mereka merupakan pembuat dasar satu ketika dahulu iaitu ketika berada dalam Dewan Negeri Pahang. Sebagai Speaker Dewan Negeri, bertanya khabar dan menghargai sumbangan itu adalah antara program yang kita mahu, selain dapat menjenguk dan mengetahui keadaan mereka,” katanya.
Bekas ADUN Cheka, Tuan Lee Ah Wong, menyifatkan Program Ziarah Kasih ini sebagai satu inisiatif yang sangat bermakna dalam menghargai sumbangan bekas wakil rakyat tanpa mengira latar belakang fahaman politik.
“Ini satu tanda prihatin kepada bekas ADUN. Tidak kira ADUN itu daripada parti mana, asalkan ADUN itu pernah berkhidmat dan pernah memegang jawatan sebagai YB, memang bukan sesuatu yang mudah,” katanya.
Beliau turut memuji pendekatan berpandangan jauh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang hari ini yang sentiasa komited membawa lembaran baharu demi kemakmuran seluruh negeri.
“Kami lihat memang Negeri Pahang sangat maju. Lain daripada dulu dan kami nampak satu nafas baharu untuk Negeri Pahang. Jadi kami rasa rakyat Negeri Pahang bersyukur,” katanya yang mengagumi kemajuan ekonomi dan pembangunan negeri pada masa kini.

Sementara itu, bekas EXCO Pahang dan bekas ADUN Lepar, YH Dato’ Rahim Muda, berkata kunjungan hormat yang digerakkan oleh pihak Dewan Negeri Pahang itu amat menyentuh hati selain menggamit semula memori ketika beliau masih berkhidmat.
“Selepas mendapat panggilan daripada pejabat Datuk Sri Speaker yang memaklumkan Dato Sri Sharkar ingin datang menziarah, memang terasa sangat teruja kerana ia mengembalikan nostalgia semasa saya bersama Datuk Sri dahulu,” katanya.
Sementara itu, bekas Speaker Dewan Negeri Pahang dan bekas ADUN Bebar, YH Dato’ Sri Haji Ishak Haji Muhamad, menyifatkan kehadiran Speaker Dewan Negeri Pahang menerusi Program Ziarah Kasih tersebut sebagai satu usaha yang dapat mengeratkan kembali hubungan silaturahim antara pemimpin terdahulu dan kepimpinan semasa.
“Dengan kehadiran Speaker ini, sudah tentulah kita gembira. Setiap lawatan, kunjung-mengunjung dan ziarah-menziarahi sudah menjadi budaya kita. Sesuatu yang baik itu sudah tentu menghiburkan dan menggembirakan, malah kita dapat berbual untuk mengukuhkan lagi hubungan silaturahim,” katanya.
Beliau berkata, kunjungan tersebut turut mencetuskan semula hubungan kemesraan dan persahabatan yang telah terjalin sejak sekian lama ketika bersama-sama berjuang dalam arena politik. -PAHANGMEDIA

