Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
RAUB, 16 JULAI 2026 : Pahang menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam usaha mengesan penyakit kusta menerusi pendekatan pengesanan aktif di lapangan yang dilaksanakan sejak 2022, sekali gus membolehkan pesakit dikenal pasti lebih awal sebelum mengalami komplikasi.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, pendekatan Unit Tibi dan Kusta Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) yang dilaksanakan secara sinergi bersama agensi berkaitan itu melibatkan saringan aktif di kampung-kampung termasuk penempatan Orang Asli, berbeza dengan kaedah menunggu pesakit mendapatkan rawatan di hospital atau klinik.
“Dan kita sebenarnya, Pahang jadi tempat rujukan kepada negeri-negeri lain untuk melihat kaedah bagaimana Negeri Pahang menjalankan tugas mencari pesakit.
“Jadi kita harap masyarakat tidak panik apabila mendengar Pahang ini tinggi (kes kusta) kerana angka tinggi itu disebabkan kita turun ke lapangan untuk mencari kes,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Pahang 2026 yang diadakan serentak dengan Program Lakar di Dewan Semai Bakti Felda Tersang 3, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan), Kementerian Kesihatan Malaysia, YH. Dato’ Sri Zahrul Hakim Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dr. Haji Saiful Azlan Haji Sharif; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Talam, YB Dato’ Haji Abdul Aziz Haji Mat Kiram; serta barisan ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Program anjuran Unit Tibi dan Kusta JKNP itu berlangsung selama dua hari sebagai usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit kusta selain memperkukuh aktiviti pengesanan kes.
YB Dato’ Ir. Razali memberitahu, Pahang merekodkan 170 kes penyakit kusta pada tahun lalu dengan 23 kes melibatkan kanak-kanak berusia bawah 13 tahun, manakala 90 peratus daripada keseluruhan kes membabitkan warganegara Malaysia dan bakinya bukan warganegara.
Katanya, daripada jumlah kes dalam kalangan warganegara itu, kira-kira dua pertiga melibatkan masyarakat Orang Asli, selain terdapat juga kes yang dikesan di kawasan Felda sehingga kawasan tersebut dipilih sebagai lokasi sambutan Hari Kusta Sedunia peringkat negeri tahun ini.
Tambahnya, usaha pengesanan aktif akan diteruskan di seluruh negeri kerana pendekatan itu diyakini mampu mengurangkan jumlah kes melalui pengesanan awal termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli dan penduduk di kawasan Felda.
“Kalau tidak, jika kita hanya menunggu di hospital, orang tidak datang mendapatkan rawatan. Biasanya mereka hanya hadir apabila penyakit sudah serius dan memberi kesan kecacatan.

“Tetapi kita tidak tunggu. Kita turun mencari dan membuat pengesanan awal di kampung-kampung,” katanya.
Menurutnya, cabaran utama ketika ini ialah menghapuskan stigma masyarakat yang masih mengaitkan penyakit kusta dengan keadaan sekitar tahun 1970-an dan 1980-an, sedangkan rawatan moden kini jauh lebih berkesan dan pesakit tidak lagi perlu diasingkan.
“Sekarang tidak perlu kerana kita sudah mempunyai antibiotik. Sesiapa yang dikesan menghidap kusta dan mengambil antibiotik, dalam tempoh 48 jam sudah dikira tidak boleh menjangkiti orang lain.
“Tidak perlu lagi dikuarantin. Ada stigma dalam masyarakat apabila mendengar kusta, terus menganggap perlu kuarantin. Sebenarnya tidak perlu. Yang penting ialah kenal pasti penyakit dan berikan rawatan antibiotik. InsyaAllah dalam tempoh 48 jam, pesakit tidak lagi menjangkiti orang lain,” ujarnya.
Beliau berharap masyarakat mendapatkan maklumat yang tepat mengenai penyakit kusta kerana ia boleh dirawat dengan berkesan melalui pengesanan awal dan rawatan antibiotik, selain yakin jumlah kes di Pahang akan berkurangan apabila lebih banyak kawasan selesai menjalani saringan secara menyeluruh.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Malaysian Leprosy Relief Association (MaLRA) yang banyak membantu pesakit kusta di negeri ini termasuk menyalurkan bantuan kos perubatan, pengangkutan, bakul makanan dan bantuan persekolahan, selain bekerjasama rapat dengan JKNP dalam menjaga kebajikan golongan berkenaan. -PAHANGMEDIA

