Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 JULAI 2026 : Kemenangan cemerlang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diyakini bukan sahaja memperkukuh kestabilan politik negeri itu, malah dijangka memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi dan pelaburan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kejayaan tersebut turut meningkatkan keyakinan bahawa agenda Maju Johor dapat diteruskan sekali gus merealisasikan sasaran negeri itu menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030.
“Saya sangat yakin dan optimis ia akan dapat dicapai kerana Johor mempunyai kerajaan yang stabil, sekali gus memberi keyakinan kepada pelabur untuk datang.
“Saya ada pengalaman apabila Johor tewas pada 2018, pelabur dari Singapura tidak datang ke Johor, sebaliknya memilih Pahang dan ini memberi lonjakan ekonomi yang baik kepada negeri ini.
“Namun, selepas Johor kembali ditadbir Barisan Nasional, pelabur dari Singapura kembali semula ke Johor. Perkara ini tidak boleh dinafikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Walk A Town With Me Pahang 1st dan Majlis Penutupan Festival Belia Negeri Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang, di sini.
Tambah beliau, kestabilan politik di Johor menjadi faktor utama yang meningkatkan keyakinan pelabur, khususnya dari Singapura, untuk kembali melabur di negeri itu, sekali gus memberi tempias positif kepada Pahang.
“Johor kini berada dalam keadaan stabil dan terus berusaha untuk maju. Alhamdulillah, KDNK Johor adalah antara yang tertinggi. KDNK ini merujuk kepada keseluruhan aktiviti ekonomi dalam sesebuah negeri.
“Saya yakin perkembangan ini akan memberi manfaat kepada rakyat Johor dan pada masa sama, Pahang juga akan menerima tempias positif daripada pertumbuhan tersebut. Insya-Allah, kita mampu melonjakkan lagi ekonomi negeri ini,” ujarnya.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, kemenangan BN yang menyaksikan pertambahan kerusi daripada 40 kepada 48 membuktikan parti itu terus mendapat kepercayaan dan sokongan rakyat.
“Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pengerusi Perhubungan UMNO Johor yang juga Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi atas kejayaan cemerlang ini.
“Ini jelas menunjukkan Barisan Nasional dan UMNO masih relevan serta terus berada di hati rakyat,” katanya. -PAHANGMEDIA

