Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 13 JULAI 2026 : Program Walk A Town With Me Pahang 1st akan diperluaskan ke semua 14 kawasan Parlimen di negeri ini tahun ini selepas mendapat sambutan luar biasa pada penganjuran sulungnya sempena Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Negeri Pahang di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang, malam tadi.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan program itu merupakan inisiatif Kerajaan Negeri bagi mendekati golongan belia di seluruh Pahang melalui pengisian aktiviti yang bermanfaat serta mengeratkan hubungan dalam kalangan mereka.

“Program ini yang julung kali diadakan, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Exco Belia, YB Fadzli dan kita akan lanjutkan ke semua Parlimen di Pahang.
“Kita ada 14 Parlimen, bukan daerah. Kita ada 11 daerah, tetapi kita akan laksanakan di semua Parlimen dan akan diselesaikan tahun ini juga, insya-Allah,” katanya dalam satu sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Program Walk A Town With Me Pahang 1st dan Majlis Penutupan Festival Belia Negeri Pahang sempena Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Ekonomi, YB Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, Encik Nor Azli Mohamad Daud serta barisan ketua jabatan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata Kerajaan Negeri bersetuju menambah peruntukan penganjuran Festival Belia Pahang sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri daripada RM400,000 tahun ini kepada RM500,000 tahun hadapan.

“Kita akan menyediakan peruntukan yang secukupnya. Untuk tahun depan, kita tambah kepada RM500,000 dan ini adalah bagi memenuhi denyut nadi anak-anak muda.
“Jadi kita harap dengan adanya program ini, mereka dapat mengisi masa dengan aktiviti yang memberi faedah dan manfaat,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan memastikan peruntukan mencukupi disediakan bagi menjayakan program berkenaan kerana ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan generasi muda.

“Bagi saya, peruntukan ini bukan sekadar untuk menganjurkan program, tetapi merupakan satu pelaburan untuk anak-anak muda pada masa depan. Kita tahu bahawa anak-anak muda adalah aset Negeri Pahang. Jadi ini adalah salah satu cara kita melabur,” katanya lagi.
YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut menjunjung kasih atas keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang pada Jumaat lalu.
Sementara itu, dianggarkan seramai 50,000 pengunjung hadir memeriahkan Festival Belia Pahang 2026 sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat dan berakhir semalam. -PAHANGMEDIA

