Oleh : Syafiqah Jamaluddin
Foto : Shahrizar Azdhar
BERA, 14 JULAI 2026 : Orang ramai, khususnya wanita, disaran agar tidak menunggu sehingga kanser berada pada tahap kritikal sebelum mendapatkan pemeriksaan, sebaliknya tampil menjalani saringan awal bagi meningkatkan peluang rawatan dan penyembuhan.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB Dato’ Sabariah Saidan berkata, kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal kanser semakin meningkat apabila Program Ceramah Kesedaran Kanser anjuran Pertubuhan Wanita Dinamis FELCRA Berhad (WADIRA) mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Menurut beliau, penyakit kanser tidak mengenal jantina, justeru program kesedaran seperti itu wajar disertai oleh semua lapisan masyarakat termasuk lelaki.

“Macam saya katakan tadi bahawa kanser ini tidak mengenal jantina, jadi eloklah semua pihak terlibat dalam program ini.”
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Ceramah Kesedaran Kanser di Dewan Orang Ramai Kampung Bohor Baru, di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut melaksanakan pelbagai program turun padang, termasuk menggunakan bas bergerak bagi memberi pendidikan kesihatan serta menyediakan saringan awal seperti mamogram dan ujian HPV DNA bagi mengesan kanser pangkal rahim.
Katanya, usaha itu akan terus diperkasakan menerusi program jelajah (roadshow) ke seluruh negeri supaya lebih ramai rakyat mendapat akses kepada pemeriksaan kesihatan lebih awal.

“Insyaallah dalam matlamat yang awal pun kita ada membuat permohonan supaya roadshow (program jelajah) untuk kita mengenal pasti ataupun mengesan kanser dengan lebih awal,”
katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memanfaatkan inisiatif Permata Makmur yang masih diteruskan oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata, permohonan boleh dibuat di pejabat berkaitan atau dengan menghubungi pihak urus setia sekiranya berdepan kesukaran untuk mendaftar.
Menurutnya, bayi yang dilahirkan di negeri Pahang layak menerima manfaat Program Permata Makmur walaupun ibu bapanya berasal dari luar Pahang, selagi kelahiran berlaku di negeri ini.
“Permata Makmur ni kita masih teruskan setiap masa,boleh datang ke pejabat. Kalau susah boleh telefon. Kalau di tempat tuan-tuan puan-puan tak ada coverage (liputan rangkaian) kita daftar kan, boleh call je ke pejabat, kita tolong daftarkan.
“Sekiranya orang luar daripada Pahang, berjalan ke Pahang, bersalin, tiba-tiba betul bersalin,boleh dapat program ni.,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kepimpinan Kerajaan Negeri berada pada landasan yang tepat dengan ekonomi Pahang yang semakin kukuh, sekali gus membolehkan lebih banyak inisiatif kebajikan dan bantuan terus disalurkan kepada rakyat.-PAHANGMEDIA

