Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : JBPM Pahang
KUANTAN, 08 JULAI 2026 : Seorang lelaki warga emas ditemukan maut selepas rumah yang didiaminya terbakar dalam kejadian di Taman Seri Mahkota Jaya, di sini, pagi ini.
Mangsa, Vilthaliggam A/L Govendan, 67, ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu rumah teres tersebut ketika anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi pemadaman.
Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pahang, PPgB Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.31 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Tas bersama lapan anggota digerakkan ke lokasi dan tiba kira-kira sembilan minit kemudian.
Menurutnya, maklumat awal daripada jiran memaklumkan tiada penghuni berada di dalam rumah, namun anggota bomba menemukan mangsa selepas memecahkan pintu dan memasuki kediaman tersebut.
“Pasukan bomba menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air daripada tangki pam jentera untuk memadamkan kebakaran. Operasi berjaya dikawal pada pukul 9.52 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada pukul 9.57 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kebakaran melibatkan sebuah rumah teres berukuran 18 x 60 kaki persegi, dengan api memusnahkan ruang tamu seluas 18 x 10 kaki persegi. Anggaran kemusnahan keseluruhan rumah adalah kira-kira 15 peratus.
Operasi turut dibantu enam anggota dari BBP Indera Mahkota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah jentera ALP. Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan. -PAHANGMEDIA

