Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
MARAN, 07 JULAI 2026 : Penstrukturan semula Koperasi Permodalan FELDA (KPF), termasuk penyelesaian isu penebusan saham ahli dan bayaran tertunggak kepada pemiutang, dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini.
YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu melibatkan penyelesaian penebusan saham ahli, bayaran tertunggak kepada pemiutang serta penyusunan semula aset KPF bagi mengembalikan kestabilan kewangan koperasi berkenaan.
Katanya, kerajaan memahami beban yang ditanggung sebahagian ahli KPF, khususnya mereka yang membuat pinjaman atau menjual aset bagi memiliki saham koperasi tersebut.
“Sebab itu, penstrukturan yang telah dikemukakan kepada saya akan dilakukan selewat-lewatnya pada akhir tahun, insyaAllah, boleh diselesaikan. Dan bayaran tertunggak juga untuk pemiutang juga akan diselesaikan dalam tempoh yang sama,”katanya dalam satu sidang media selepas selesai Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini hari ini.
Menurutnya, KPF memerlukan kira-kira RM350 juta bagi memenuhi tuntutan penebusan saham ahli, selain sekitar RM150 juta lagi untuk menyelesaikan komitmen bayaran tertunggak kepada pemiutang.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan kerajaan turut meneliti cadangan supaya pengurusan ladang milik FELDA yang kini diuruskan oleh FGV dikembalikan kepada FELDA sebagai antara langkah memperkukuh prestasi kewangan agensi itu.
“Maka dalam hal ini, saya fikir kalau penstrukturan semula pengurusan ladang-ladang Felda diuruskan oleh Felda sendiri, maka ianya akan mencepatkan hutang-hutang itu untuk dilunaskan,” ujarnya.
Selain itu, kerajaan terus memberi perhatian terhadap kebajikan generasi baharu FELDA dengan mempercepat penyelesaian isu pemilikan tanah dan pembinaan rumah di lot yang diwarisi daripada generasi pertama.
Beliau berkata, pelaksanaan di Pahang dan Johor boleh dijadikan contoh kepada negeri lain dalam memastikan generasi kedua dan ketiga FELDA terus menikmati kemudahan serta peluang pembangunan yang lebih baik.-PAHANGMEDIA

