Oleh: Norhafizan Zulkifli
Foto: Farizul Hafiz Awang
MARAN, 07 JULAI 2026 : Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam melahirkan rasa syukur dan terharu selepas dinobatkan sebagai Tokoh Generasi FELDA 2026 bersempena Sambutan Hari Peneroka 2026 dan ulang tahun ke-70 FELDA yang berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini, hari ini.
Lebih mengujakan buat dirinya apabila anugerah berprestij itu disampaikan oleh tiga pemimpin utama negara dan negeri iaitu YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YAB. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, dan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan disaksikan ribuan warga peneroka dari seluruh negara.
YB. Dato’ Amizar yang merupakan anak peneroka FELDA Wilayah Mempaga berkata, beliau sama sekali tidak menyangka dipilih menerima pengiktirafan berkenaan kerana anugerah itu bukan sesuatu yang dipertandingkan, sebaliknya diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan kepada masyarakat FELDA.

“Pertamanya saya rasa sangat bersyukur kepada Allah SWT Dengan limpahNya, saya telah pun dinobatkan Tokoh Generasi FELDA pada tahun 2026 ini.
“Dan rasa terkejut juga benda ni datang sebegitu rupa. Alhamdulillah, saya sangat teruja lagi dengan kehadiran tiga pemimpin iaiatu Perdana Menteri Malaysia, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar sendiri, serta dihadapan begitu ramai peroka hari ni yang dapat menyaksikan saya diletakkan sebagai penerima anugerah ,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Katanya, pengiktirafan itu menjadi pembakar semangat untuk terus menyumbang kepada pembangunan komuniti FELDA serta memperkasakan generasi muda agar terus memainkan peranan memajukan tanah rancangan.
Menurutnya, anak-anak peneroka perlu meneruskan legasi ibu bapa mereka dengan memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat dan FELDA.
“Saya nak menyeru juga kepada generasi anak-anak peneroka dan juga generasi-genasi peneroka di luar sana supaya kita teruskan lagi dengan apa percapaian-percapaian, sumbangan kita, kembali kepada ibu dan juga ayah kita dan juga kepada FELDA.
“Sebenarnya yang penting adalah keberhasilan apa yang kita laksanakan ialah setiap perkara-perkara berhubung kait dengan FELDA, berhubung kait dengan generasi FELDA” ujarnya.
Pada majlis sama, Tuan Haji Muhammad Amin Sardin dari FELDA Wilayah Mempaga dinobatkan sebagai Tokoh Peneroka FELDA 2026, manakala Puan Hajah Milah Yoot dari FELDA Wilayah Segamat menerima Anugerah Penerokawati 2026.
Sementara itu, Saudara Taufeek Mazlan dari FELDA Raja Alias diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Belia FELDA 2026, manakala Saudari Siti Rohayu Sulong dari FELDA Wilayah Terengganu menerima Anugerah Tokoh Beliawanis FELDA 2026.
Bagi kategori Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA 2026, pengiktirafan diberikan kepada FELDA Kemahang 3, Wilayah Gua Musang atas pencapaian cemerlang dalam pembangunan komuniti dan pengurusan rancangan.-PAHANGMEDIA

