Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Farizul Hafiz Awang
MARAN, 07 JULAI 2026 : YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim memuji Kerajaan Negeri Pahang yang disifatkan sebagai antara negeri paling pantas menyahut seruan Kerajaan Persekutuan dalam usaha menyelesaikan isu legasi perumahan generasi baharu FELDA.
Katanya, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail memberi kerjasama baik terhadap usaha meminda Akta Tanah Kawasan Penempatan Berkelompok 1960 bagi membolehkan lebih daripada satu unit rumah dibina di atas satu lot kediaman.
“Jadi, kita telah tubuhkan jawatankuasa menyelesaikan isu legasi dan terima kasih Dato’ Wan Rosdy, ini negeri Pahang di antara yang paling cepat yang menyambut seruan ini,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun FELDA di Stadium Tun Abdul Razak, di sini hari ini.
Majlis berkenaan turut dihadiri YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara (KSN), YBHG. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan.
Dalam pada itu, YAB Dato’ Seri Anwar turut memuji hubungan baik antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Pahang yang menurutnya memudahkan pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan.
“Jadi saya juga terima kasih kepada Menteri Besar kerana kerjasama yang diberikan. Nak pilih Menteri Besar macam inilah. Dia senang.
“Kita Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri ini kena hubungan yang baik. Jadi senang, dia minta apa-apa, saya boleh pertimbang. Ini contoh Pahang ini patut negeri-negeri lain belajar,” ujarnya.
Mengulas Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF), beliau berkata, projek yang bermula sejak 2013 itu melibatkan 43 tapak dengan keseluruhan 8,024 unit rumah di beberapa negeri termasuk Pahang.
Beliau turut mengarahkan pengurusan FELDA menyediakan laporan terperinci mengenai projek-projek yang mengalami kelewatan dalam tempoh dua bulan selain laporan kemajuan setiap dua minggu bagi memastikan pelaksanaannya dapat dipercepatkan. -PAHANGMEDIA

