Oleh : Nur Saadah Artika
ROMPIN, 07 JULAI 2026 : Sayembara Penulisan Puisi Pahang1st berjaya mengetengahkan keunikan warisan, budaya dan identiti Negeri Pahang menerusi karya kreatif, sekali gus menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkukuh sektor pelancongan dan kebudayaan sebagai pemangkin pembangunan negeri.
Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Penulisan Puisi Pahang1st telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim pada 4 Julai 2026 sempena perasmian Gemacitra Pahang 1st Daerah Rompin iaitu salah satu program di bawah Aspirasi Pahang1st di Dataran Bandar Muadzam Shah, di sini.
Menurut YB. Dato’ Ir. Razali, Kerajaan Negeri sentiasa memberi sokongan kepada golongan karyawan dan penggiat seni kerana mereka memainkan peranan penting dalam memartabatkan warisan, budaya serta identiti Negeri Pahang.
“Kerajaan negeri sentiasa menyokong golongan karyawan dan penggiat seni kerana mereka merupakan tunjang penting dalam memartabatkan warisan, budaya dan identiti negeri,” katanya dalam ucapan perasmian program Gemacitra Pahang 1st Daerah Rompin di Dataran Bandar Muadzam Shah.

Menurut beliau, budaya dilihat sebagai aset ekonomi yang berpotensi menjana pendapatan dan menggerakkan pembangunan masyarakat.
“Budaya bukan sekadar warisan nenek moyang, malah aset ekonomi yang mampu membuka peluang pekerjaan, menjana pendapatan usahawan tempatan dan menggerakkan pembangunan masyarakat.
“Kesenian dan kebudayaan bukan sekadar hiburan, tetapi adalah jantung hati yang mewajahkan jiwa sesebuah bangsa, lambang tamadun dan wajah negara di mata dunia,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran Sayembara Penulisan Puisi Pahang 1st anjuran Kelab Deklamator Pahang dengan kerjasama Majlis Kebudayaan Negeri Pahang berjaya menghimpunkan 120 penyertaan daripada penulis yang menampilkan keindahan alam, sejarah, budaya dan warisan Negeri Pahang melalui karya puisi.

Daripada jumlah itu, tujuh karya telah dipilih sebagai pemenang dengan tempat pertama dimenangi Kamarul Ariffin Abdul Malik menerusi puisi bertajuk Suara Nadi Pahang yang membawa pulang wang tunai RM1,000 berserta sijil.
Naib johan dimenangi Abdul Rahman Janai menerusi puisi Demimu Darul Makmur yang menerima hadiah RM800 berserta sijil, manakala tempat ketiga menjadi milik Muhammad Basiron Aiman Abdul Rahman menerusi karya Naskhah Yang Menari yang membawa pulang RM500 berserta sijil.
Empat hadiah saguhati pula dimenangi Norashikin Azmi menerusi Selembar Hikayat Bernama Pahang, Mazfadilah Mat Dewa (Suara Dari Hulu Sungai), Muhammad Daniel Irfan Ismail (Risalah Dari Balairung Seri Inderapura) dan Muhammad Asri Karim (Bergerak Sederap, Maju Bersama) yang masing-masing menerima RM200 berserta sijil.
Kesemua puisi ini akan diusahakan untuk diterbitkan dalam bentuk sebuah buku Antalogi Puisi Pahang 1st. -PAHANGMEDIA

