Oleh : Nur Saadah Artika
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB Dato’ Amizar Abu Adam membidas kenyataan ADUN Bukit Ibam, YB Tuan Nazri Ahmad yang didakwa cuba mengelirukan rakyat berhubung pelaksanaan Projek Skim Tanah Rakyat FELDA Pahang (STRFP).
Beliau menegaskan kenyataan tersebut adalah tidak tepat dan berkemungkinan merujuk kepada skim lain yang tidak melibatkan STRFP.
“STRFP tidak dilaksanakan lagi oleh pihak PTG dan FELDA kerana 21 Mei adalah penyelarasan untuk kerja pemetaan (mapping). Jadi bagaimana peneroka dan anak peneroka boleh membuat laluan sendiri di situ.
“Kenyataan ADUN Bukit Ibam ini boleh mengelirukan masyarakat. Itu mungkin skim lain dan bukan STRFP,” katanya ketika menjawab perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Ibam, YB Tuan Nazri Ahmad pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Terdahulu, ADUN Bukit Ibam mendakwa pelaksanaan STRFP berjalan perlahan serta menggesa Kerajaan Negeri menyediakan prasarana asas sebelum lot tapak rumah diserahkan kepada peserta.
Selain itu, beliau turut mendakwa penduduk di FELDA Selancar 1 terpaksa membina laluan sendiri ke kawasan lot perumahan bagi memudahkan urusan permohonan bekalan air dan elektrik.
Mengulas lanjut, YB Dato’ Amizar berkata Kerajaan Negeri sentiasa komited memastikan pelaksanaan STRFP berjalan lancar melalui kerjasama erat bersama FELDA dan agensi berkaitan.
Menurutnya, pelbagai penyelarasan sedang dilakukan termasuk penyediaan kemudahan asas dan pembangunan infrastruktur secara berperingkat demi manfaat generasi baharu FELDA di negeri ini. -PAHANGMEDIA

