Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Shahrizar Azdhar
KUANTAN, 12 MEI 2026 : Kerajaan Pahang komited memperjuangkan bayaran pampasan yang lebih adil daripada Kerajaan Persekutuan susulan pewartaan serta usaha pemeliharaan kawasan hutan simpan di negeri ini.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat ini Negeri Pahang telah menerima kira-kira RM73 juta, namun bayaran tersebut disalurkan dalam bentuk projek pembangunan.
Menurut beliau, Kerajaan Negeri telah membangkitkan perkara itu dalam Mesyuarat Majlis Kewangan Negara dengan permintaan agar sebahagian pampasan disalurkan dalam bentuk tunai.
“Kerajaan Negeri berterima kasih atas bayaran yang diberikan dalam bentuk projek, namun kita memohon supaya ia turut dibayar secara tunai, sekurang-kurangnya sebahagian pada peringkat awal. Alhamdulillah, dalam mesyuarat tersebut, pengerusi telah bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan,” katanya.
Tambah beliau, jumlah bayaran yang diterima sejak 2022 masih belum memadai berbanding keluasan kawasan hutan simpan yang dimiliki oleh Pahang.
“Jika dilihat sebelum ini, Pahang berada di kedudukan kelapan dari segi penerimaan bayaran pampasan, namun kini kedudukan itu telah meningkat. Bagaimanapun, Kerajaan Negeri masih tidak berpuas hati dan akan terus menyuarakan perkara ini dalam setiap mesyuarat yang diadakan,” ujarnya.
Beliau menegaskan, usaha menuntut pampasan yang lebih munasabah akan diteruskan secara konsisten demi memastikan kepentingan negeri terus terpelihara.
Terdahulu, isu tersebut dibangkitkan bagi menjawab perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka, YB Dato’ Sri Haji Tuan Ibrahim Tuan Man pada Mesyuarat Pertama Penggal Ke-5 Dewan Negeri Pahang Ke-15 yang berlangsung di Wisma Sri Pahang. -PAHANGMEDIA

