Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 25 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang menyeru semua kampung di negeri ini menubuhkan persatuan silat bagi memastikan anak muda khususnya dapat mengamalkan gaya hidup sihat dan seimbang.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, aktiviti persilatan ini juga selari dengan tonggak Aspirasi Pahang 1st.

“Saya menyeru mana-mana kampung yang belum ada persatuan silat, harap dapat menubuhkan persatuan silat supaya anak-anak muda di kampung dapat memenuhi aktiviti yang sihat. Jadi bila ada pertubuhan silat ini, mereka akan ada aktiviti.
“Saya nak kalau boleh anak-anak muda ini masa silat pun ada, masa ke masjid pun ada, masa lepak pun ada, masa main handphone pun ada, masa bersukan pun ada. 360 darjah punya aktiviti termasuklah silat. Ada masa kadang-kadang kita nak lepak, ada masa kita nak berbual dengan kawan. Tapi saya tak naklah banyak masa tersebut digunakan untuk lepak dan ini merugikan. Walaupun mungkin ada sedikit masa boleh diperuntukkan untuk persatuan silat dan sebagainya.
“Dan ini merupakan salah satu daripada tonggak Aspirasi Pahang 1st. Nombor satu, memertabatkan agama Islam, mempertahankan institusi raja, meneruskan warisan budaya,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang juga akan membantu pertubuhan silat di negeri ini bagi memastikan golongan muda dapat membentuk keperibadian yang mantap sejak dari awal.
“Peringkat awal Kerajaan Negeri akan bantu. Seadanya lah. Ia bagi membina peribadi, persatuan, silaturrahim, semangat satu pasukan, dan untuk kita memastikan warisan budaya ini diteruskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bakti Negeri (BN) melibatkan bakul makanan dan katil hospital DUN Cheka di Perpustakaan Awam Daerah Lipis.
Beliau sebelum itu turut merasmikan Program Apresiasi Pahang 1st Lipis Bertanjak 2.0 di Dewan Residen, Kuala Lipis.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim. -PAHANGMEDIA

