Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 25 APRIL 2026 : Kerajaan Pahang tidak berkompromi terhadap sebarang tuduhan yang tidak berasas apabila tampil mengambil tindakan tegas susulan fitnah yang mendakwa Bantuan Bakti Negeri Pahang sebanyak RM15,000 seminggu kepada ADUN dan penyelaras DUN diseleweng.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, Kerajaan Negeri mengambil tindakan membuat polis berkenaan perkara ini memandangkan ianya memberi gambaran buruk kepada barisan kepimpinan negeri.
“Bila Kerajaan Negeri mengumumkan bantuan bakul makanan negeri ini, yang kita panggil Bakti Negeri (BN) Pahang, beliau telah mengeluarkan satu posting di Facebook yang mengatakan wang sejumlah RM15,000 ini dijarah oleh ADUN dan penyelaras DUN.

“Ini untuk nak menunjukkan apa yang Kerajaan Negeri buat ini tidak sampai kepada rakyat. Jadi kita mengambil keputusan kerana tuduhan (menjarah duit rakyat) itu begitu berat. Itu dia buat dan kita mengambil keputusan untuk buat laporan polis.
“Tomahan seperti ini perkara biasa dalam politik tetapi tuduhan yang dibuat ini adalah satu tuduhan yang sangat serius, yang tidak benar. Perkara lain itu ringan kita boleh terima sebagai ahli politik tetapi tuduhan yang dibuat ini sangat berat. Menjarah duit rakyat. Itu antara ayat yang dikeluarkan. Jadi kita tidak boleh berdiam diri,” katanya.
Tambah beliau, tindakan membuat laporan polis terhadap individu terlibat dilakukan untuk memastikan fitnah seperti ini tidak berterusan dan diangkat menjadi satu budaya oleh pihak bersalah.
“Tetapi kami telah sependapat untuk meneruskan laporan polis tersebut kerana kita tidak mahu perkara ini berterusan. Dan kita tidak mahu fitnah dulu minta maaf kemudian Kita tidak mahu budaya itu terjadi kepada kami. Jadi kami tetap dengan meneruskan laporan polis tersebut. Saya harap tindakan yang sesuai penuh keadilan akan dapat dibuat dalam masa terdekat.
“Kalau kita berdiam diri nanti mungkin rakyat mengatakan perkara ini benar. Jadi kita elok kita mengambil tindakan, saman fitnah. Ada keputusan yang adil supaya rakyat dapat menilai. Saya ingat tak kurang daripada 10 (laporan polis dibuat),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bakti Negeri (BN) melibatkan bakul makanan dan katil hospital DUN Cheka di Perpustakaan Awam Daerah Lipis.
Turut hadir, YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim. -PAHANGMEDIA

