Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2026 : Anugerah Usahawan Pahang merupakan penghargaan oleh Kerajaan Negeri Pahang kepada para usahawan yang menjadi salah satu faktor penyumbang utama ekonomi di negeri ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam, majlis yang julung kali diadakan ini juga sebagai pencetus motivasi kepada usahawan di negeri ini.

“…niat-niat adalah untuk memberikan motivasi kepada usahawan-usahawan di Negeri Pahang. Dan ini adalah julung-julung kali yang kita buat untuk memberikan penghargaan kepada usahawan-usahawan Negeri Pahang.
“Kerana mereka ini adalah salah satu penyumbang utama ekonomi kepada kerajaan negeri dan inilah penghargaan kembali kepada mereka.
“Kerajaan Negeri nak berikan satu mesej yang jelas bahawasanya setiap rakyat Negeri Pahang ni masing-masing punya komitmen, masing-masing punya kerjasama yang boleh menjadikan Negeri Pahang ini menjadi negeri yang cukup makmur dan juga mencapai setiap apa yang kita gerakkan di dalam Negeri Pahang,” katanya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pahang tidak menolak untuk menjadikan majlis ini sebagai acara tahunan memandangkan setiap tahun terdapat pertumbuhan yang berbeza daripada para usahawan yang ada.
“Saya jangkakan ini menjadikan acara tahunan sebab usahawan ini setiap tahun ada pertumbuhan-pertumbuhan dan mungkin tahun ini jualan ataupun program dia mungkin agak biasa tapi mungkin dia akan jadi luar biasa tahun depan.
“Kita bukan sahaja melihat pencapaian dari segi ekonomi mereka, bukan sahaja pendapatan malah ada juga kita melihat secara keseluruhan. Dari segi pengurusan kewangan mereka, melihat pengurusan pemasaran mereka dan banyak rata-rata pada hari ini kita dapat lihat bahawasanya ada usahawan yang mencecah setahun RM14 juta jualannya. Yang ini luar biasa.

“Maksudnya kita ada usahawan-usahawan Negeri Pahang ni yang berjaya. Setakat RM2 juta, RM3 juta tu ramai, tapi RM14 juta ke hampir RM20 juta setahun kita anggapkan sebagai salah satu usahawan yang berjaya di Negeri Pahang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Jamuan Malam Dan Anugerah Usahawan Pahang sempena Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur EXPO 2026 di Hotel Grand Darul Makmur. -PAHANGMEDIA

