Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 18 APRIL 2026 : Perkongsian resipi makanan Cina halal secara atas talian menjadi pencetus rezeki Puan Haniesah Lai Abdullah, pemilik Mama Cah Kitchen menerima Anugerah Khas Usahawan Negeri Pahang.
Puan Haniesah Lai, 49, turut berkongsi rasa terkejut kerana menerima anugerah tersebut memandangkan perniagaannya yang masih baharu dijalankan.

“Terima kasih untuk anugerah khas ini, rasa macam tak percaya sebenarnya tapi terima kasih sebab kita rasa macam dihargai, rasa macam usaha penat lelah, macam dapat something yang kita dapat semula.
“Saya merupakan usahawan Orang Asli berbangsa Jakun. Saya buat makanan Chinese, bak chang, loh mai kai, dan brand saya adalah Mama Cah Kitchen. Untuk makanan Chinese ni kita perkenalkan pada bulan 8 tahun lepas so belum sampai 2 tahun lagi.
“Actually, dulu kita buat bisnes sambal dan pes makanan and then nak jadikan satu cerita, one day saya share recipe bak chang, so daripada resepi tu dapat banyak feedback, yang sebenarnya orang muslim ataupun mualaf ramai nak makan bak chang tapi susah nak dapat yang halal. So daripada situ kami R&D dan kami keluarkan bisnes ni,” katanya.

Sementara itu, bagi Encik Saharuddin Ahmad, 41, yang menerima Anugerah Mikro PKS Berprestasi, beliau berkata anugerah ini merupakan pengiktirafan Kerajaan Negeri Pahang kepada para usahawan di negeri ini.
“Saya buat bisnes sambal hitam dan ikan patin sejuk beku. Fokus sambal hitam, patin sejuk beku sejak 2017. Rasa gembira, teruja (dapat anugerah ini) sebab dalam kategori ni ramai lagi yang hebat-hebat.
“Semua yang dalam kategori yang sama tu, semua hebat-hebat, semua pun layak. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang kerana menganjurkan anugerah pada tahun ni. Bagi saya, sebab dekat sinilah pengiktirafan untuk usahawan-usahawan terutama usahawan-usahawan di Negeri Pahang,” katanya.
Bagi penerima Anugerah Usahawan Graduan IPT, Puan Izni Farhana Sooudin, 34, anugerah yang diterima ini merupakan platform membantu beliau meluaskan lagi perniagaan tudung dan aksesori pengantin miliknya.

“Saya buat business tudung dengan aksesori untuk pengantin dah lama, dalam 9 tahun, sejak daripada habis belajar. Sebenarnya nervouslah sebab saya memang tak expect pun (dapat anugerah), syukur and rasa macam lagi semangat untuk pergi lagi jauh.
“Happy, saya bersyukur. Terima kasih untuk Kerajaan Negeri Pahang atas majlis anugerah ini sebab ia memang membantu sangat usahawan-usahawan untuk pergi lebih jauh lagi lepas ni,” katanya.
Sebanyak sembilan anugerah mengiktiraf kecemerlangan usahawan dalam pelbagai kategori telah disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam pada Majlis Jamuan Malam Dan Anugerah Usahawan Pahang sempena Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur EXPO 2026 di Hotel Grand Darul Makmur.
Anugerah berkenaan adalah Anugerah Inovasi dalam Produk Perkhidmatan, Usahawan Asnaf Berjaya, Usahawan Digital Teknologi, Usahawan FELDA Desa, Graduan IPT, Mikro PKS Berprestasi, Usahawan Muda Terbaik serta Usahawan Wanita Terbaik serta satu Anugerah Khas Usahawan sebagai pengiktirafan tertinggi kepada usahawan di negeri ini. -PAHANGMEDIA

