Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 16 APRIL 2026 : Program Ziarah Makmur sempena Program Sentuhan Rakyat Makmur (PSRM) Daerah Kuantan bukan sahaja merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat, malah membuka mata golongan memerlukan terhadap saluran bantuan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri.
Program yang berlangsung di Kampung Sri Cempaka dan kawasan sekitarnya itu diketuai oleh YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan barisan pimpinan Kerajaan Negeri.
Penerima bantuan, Puan Rohana Awang, 51, berkata program berkenaan memberi pendedahan penting kepada masyarakat mengenai saluran bantuan yang tersedia.

“Rasa gembiralah ada orang yang tolong kita. Bagus (program begini). harapnya akan datang ada lagilah. InsyaAllah.
“Sebelum ini tak tahu (ada bantuan disediakan Kerajaan Negeri). Bila datang hari ini barulah tahu. Jadi terima kasihlah banyak-banyak,” katanya ketika ditemui di rumah bersempena program ziarah berkenaan hari ini.
Ziarah berkenaan turut disertai Datuk Bandar Kuantan, YH. Dato’ Zaliza Zulkipli; Pengarah Unit Perancangan Operasi dan Strategik, Pejabat Menteri Besar Pahang, YH. Dato’ Wan Salman Wan Ismail serta ketua-ketua jabatan Kerajaan Negeri.
Seorang lagi penerima bantuan, Encik Mohd Farizal Mohd Nor, 43, meluahkan rasa terharu dan berterima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail kerana mengilhamkan program seumpama itu sekali gus membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap kebajikan rakyat di negeri itu.

“Program ini bagus. Saya alu-alukan lagilah boleh buat lagi, kira kita boleh katakan (program ini) rapat dengan rakyat,” ujarnya.
Beliau dalam pada itu memaklumkan telah menerima pelbagai bentuk bantuan dari Kerajaan Negeri termasuk menerima sebuah rumah percuma di bawah program Rumah Rakyat Pahang (RRP) selain turut menerima pemberian Kad Kasih Makmur dalam program ziarah hari ini.
Sementara itu, Program PSRM yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dilihat bukan sahaja menyampaikan bantuan secara terus, malah berperanan sebagai platform mendekati rakyat serta memastikan golongan sasar tidak tercicir daripada menerima manfaat yang disediakan. -PAHANGMEDIA

