Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Azdhar
ROMPIN, 15 APRIL 2026 : Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Muadzam Shah yang berlangsung di Dewan Besar DARA, di sini malam tadi, mendapat sambutan luar biasa apabila lebih 5,000 pengunjung membanjiri lokasi seawal jam 8 malam.
Lebih meriah apabila majlis turut diserikan dengan kehadiran YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, YABhg. Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Burhah Mohammed.
Majlis turut dihadiri barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, barisan pimpinan setempat dan ketua-ketua jabatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim berkata, kehadiran luar jangka itu mencerminkan semangat perpaduan dan keakraban rakyat di kawasan berkenaan.
Katanya, majlis tersebut bukan sekadar platform menikmati juadah Aidilfitri, sebaliknya menjadi medium penting dalam mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.
“Alhamdulillah, malam ini majlis mendapat sambutan yang menggalakkan dan saya lebih-lebih lagi mengucapkan terima kasihlah kepada YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy dan isteri dapat hadir bersama pada malam ini.

“Dalam perjumpaan tadi, kita bukan sekadar nak orang kata beraya, ini bukan sekadar kita nak makan, tapi sebenarnya lebih kepada kita nak inilah pertemuan kita untuk merapatkan silaturahim,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Tambahnya, kehadiran pengunjung sekali gus menggambarkan kejayaan penganjuran majlis berkenaan serta komitmen masyarakat dalam menyemarakkan sambutan Aidilfitri secara bersama.
“Alhamdulillah, kalau tengok keadaan ini, nampak satu benda yang menggembirakanlah sebab saya dimaklumkan makanan semua habis.
“Jadi saya minta maaflah kalau mana ada yang datang lewat, makanan tak cukup itu saya minta maaf sebab benda luar jangka,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

