Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 14 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang mengambil pendekatan bersepadu dengan menghimpunkan usahawan-usahawan menerusi penganjuran Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur EXPO 2026 sebagai usaha memperkukuh ekosistem perusahan kecil dan sederhana (PKS).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, program tersebut dirangka dengan pelbagai pengisian berimpak tinggi bagi memperkasa usahawan melalui perkongsian ilmu dan pendedahan menyeluruh.
“Kita mengadakan komponen-komponen penting seperti beberapa bengkel, antaranya bengkel digitalisasi yang pada masa ini merupakan antara perkara utama yang perlu disiapkan oleh usahawan.
“Selain itu, terdapat juga bengkel kewangan yang perlu diberi penekanan oleh usahawan, serta satu elemen penting yang diketengahkan iaitu berkaitan halal, yang akan dibentangkan oleh YBrs. Encik Hanis Sofian Alias.
“Banyak lagi keynote speech yang akan dibentangkan antaranya YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah selaku Timbalan Menteri Ekonomi, turut akan berkongsi beberapa perkara penting mengenai ekonomi negara dan terutama sekali kepada usahawan-usahawan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi wawancara di Konti Utama Pahangfm di RTM Pahang, hari ini.
Tambahnya, keunikan penganjuran program tersebut adalah ucapan dasar oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, serta pendekatan yang menggabungkan agensi dan usahawan dalam satu platform.
“Antara keunikan program ini, ucapan dasar yang akan disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sendiri.
“Kita gabungkan seluruh agensi antaranya MARA, TEKUN, SME Bank dan segalanya berkumpul dalam satu tempat dan usahawan-usahawan ini boleh berhubung dan memberikan perkhidmatan secara terus.
“Ini antara keunikan yang kita lakukan, maksudnya kita mahukan satu kumpulan yang besar untuk kita menggerakkan ekonomi,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyatakan kerajaan negeri sentiasa komited dalam menggalakkan dan membantu dalam pembangunan usahawan.
“Kerajaan Negeri Pahang menggalakkan dan juga komitmen kerajaan negeri membantu usahawan-usahawan ini selain menggerakkan ekonomi negeri, dia juga boleh membantu ekonomi keluarga tersendiri,” katanya.
Program Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur EXPO 2026 yang akan berlangsung pada 17 dan 18 April ini di Hotel Grand Darul Makmur adalah terbuka kepada orang ramai. -PAHANGMEDIA

