Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2026 : Kerajaan Pahang memperuntukan RM15,000 setiap minggu kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi pembelian barangan keperluan asas kepada rakyat di kawasan mereka bermula minggu ini.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, ini bagi memastikan kebajikan rakyat di negeri ini terjamin memandangkan krisis Timur Tengah yang turut memberi kesan kepada rakyat di negeri ini.
“Di Pahang sekarang ni, oleh sebab krisis Timur Tengah ini, kita membuat pendekatan bekerja daripada rumah. Dan sekarang ni saya memberi kepada semua wakil rakyat RM15,000 seminggu untuk mereka beli barang makanan asas untuk diberikan kepada kawasan masing-masing.
“Bermula kepada orang yang paling susah sehingga ke peringkat atas, RM15,000, setiap minggu untuk mereka membeli barangan keperluan asas seperti beras, minyak, gula, tepung dan sebagainya setiap minggu. Maknanya kalau RM15,000 mereka boleh bagi dalam 300 orang seminggu.
“Minggu berikutnya ada lagi. Kita akan teruskan skim ini sehingga keadaan kembali reda. Jadi ini sedikit sebanyak boleh meringankan masalah perangkat mereka. Bermula pada minggu ini kepada setiap ADUN termasuk penyelaras,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang Tahun 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Merangkap Pengerusi Majlis Rekreasi Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal; Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak; dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim.
Beliau turut mengingatkan agar anak perantau Pahang supaya tidak lupa kembali ke negeri Pahang memandangkan pelbagai kemajuan dan kemudahan menanti mereka.
“Saya harap Anak-Anak Pahang jangan lupa negeri asal mereka, Pahang. Jangan lupa balik ke Pahang. Kita di Pahang ni macam-macam ada sekarang ni.
“InsyaAllah keretapi laju akan bermula pada Januari 2027 dan akan siap penuhnya pada akhir tahun ini. Jadi ini memberikan kemudahan kepada anak-anak Pahang yang berada di rantau untuk balik ke Negeri Pahang,” katanya.
Seramai lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang Tahun 2026 yang masuk kali ketiga penganjurannya tahun ini. -PAHANGMEDIA

