Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2026 : Rakyat kini semakin matang dalam menilai kepimpinan dan pentadbiran, tidak lagi mudah terpengaruh dengan kata-kata indah mahupun janji yang belum pasti menjadi kenyataan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, rakyat kini melihat prestasi dan hasil yang dicapai oleh pentadbiran Kerajaan Negeri dan bukan hanya berpegang kepada janji semata-mata.
“Dengan kemeriahan raya ini, saya juga ingin mengajak hadirin semua untuk melihat satu perkara dengan lebih luas. Rakyat Negeri Pahang semakin hari semakin matang.
“Rakyat tidak lagi murah terpengaruh dengan kata-kata yang indah atau janji yang belum tentu menjadi kenyataan. Rakyat hari ini melihat siapa yang bekerja, siapa yang memberi hasil, dan siapa yang benar-benar menjaga kebajikan mereka.
“Sebab itulah bagi saya dan rakan-rakan exco yang lain dan ketua-ketua jabatan, sebuah negeri yang baik bukan sahaja pandai merancang tetapi mampu melaksanakan dan memberi kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Beliau berkata selari dengan slogan Pahang 1st, Kerajaan Negeri Pahang akan terus memastikan negeri ini berada pada kedudukan pertama di negara ini dalam segala aspek.
“Saya ingin supaya kita semua melihat bahawa Negeri pahang ini sedang bergerak ke hadapan dengan arah yang jelas.
“Kalau saya nak kupas kejayaan-kejayaan Negeri Pahang semenjak 2018, terlalu banyak. Tetapi memadailah dengan apa yang saya ucapkan, dengan apa yang ditayangkan dilayar tadi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang Tahun 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, hari ini. – PAHANGMEDIA

