Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUALA LUMPUR, 11 APRIL 2026 : Lebih 10,000 pengunjung hadir memeriahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang Tahun 2026 yang masuk kali ketiga penganjurannya tahun ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang Merangkap Pengerusi Majlis Rekreasi Pahang, YB. Tuan Fadzli Mohamad Kamal yang juga Pengerusi PenganjurRumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang, rumah terbuka yang menjadi acara tahunan Kerajaan Negeri Pahang ini diadakan bagi meraikan anak Pahang yang merantau.

“Alhamdulillah hari ini sambutan Hari Raya Aidilfitri Perantau Anak Pahang dihadiri ribuan perantau yang kita jangkakan lebih 10,000 yang hadir. Dan kali ini tempatnya lebih selesa di WTC ini, kita ada Dewan Merdeka, kita ada Dewan Tun Razak 4.
“Kita pun di perkarangan tingkat 4 dan tingkat 5 pun kita sediakan khas untuk perantau yang kapasitinya jauh lebih besar berbanding dengan zaman Hari Raya sebelum ini dan menu yang disediakannya pun bertambah berkali ganda daripada sebelum ini.
“Kita dapat jamu orang Pahang makan yang enak-enak terutama dalam keadaan ekonomi yang tak menentu hari ini. Dan mereka boleh ambil kesempatan bertemu dengan rakyat-rakyat perantau pemimpin-pemimpin Pahang,” katanya.

Beliau berkata rumah terbuka ini juga menjadi platform untuk barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang untuk berkongsi inisiatif yang telah dan bakal dilaksanakan di negeri ini.
Tambah beliau, antara kelainan yang ditampilkan pada rumah terbuka pada kali ini selain dari kawasan yang luas dan selesa kepada pengunjung adalah segmen yang memenuhi perjalanan majlis.
“Yang pertamanya lokasi atau dewan yang jauh lebih selesa, makanan yang lebih enak dan mencukupi, kita juga ada artis-artis jemputan, kali ini ramai. Tujuh artis jemputan termasuk yang dari Pahang.
“Dan kita jemput tokoh-tokoh dari Pahang yang sekarang sedang memimpin banyak jabatan dan agensi di negara ini. Daripada anak-anak seni Pahang, pelakon ada, ahli sukan pun ada yang merantau di bumi Pahang ini. Juga jemput tokoh-tokoh korporat perantau Pahang. Jadi banyak segmen yang kita jemput di kalangan perantau anak Pahang di sini.
“Yang pertama kapasiti makin bertambah. Yang kedua sambutan makin meriah. Yang ketiga kita nak menyediakan ruang dan tempat yang selesa betul. Dulu kita ingat kehadiran 5,000 (pengunjung). Tahun lepas kehadiran hampir 10,000. Jadi tahun ini kita sediakan untuk kapasiti lebih 10,000, ada dua dewan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang Tahun 2026 di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia, hari ini.
Turut hadir, YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, YB. Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak, dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Ir. Razali Kassim. -PAHANGMEDIA

