Oleh : Norhafizan Zulkifli
PEKAN, 09 APRIL 2026 : Mangsa kebakaran di Kampung Orang Asli Kampung Sawah Batu, Bebar di sini terharu dengan tindakan pantas Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan rumah percuma baharu bagi menggantikan kediamannya yang musnah dalam kebakaran pada 2 April lalu.
Encik Amat A/L Roslan, 38, berkata, pembinaan rumah di bawah program Rumah Rakyat Pahang (RRP) itu dijangka memakan masa sekitar dua bulan untuk disiapkan.
Bercerita lanjut katanya, kejadian dikatakan berlaku sekitar jam 7 malam dan disedari oleh anak sulungnya berusia 19 tahun yang ketika itu sedang memasak nasi menggunakan dapur gas sebelum keluar sebentar untuk mandi di parit berhampiran.
“Dia mandi pun tak lama daripada itu, dia balik rumah dah sudah rentung. Sebab saya masa itu masuk hutan dengan isteri saya.
Jadi itu kita orang pun tak pasti, tiba-tiba kita balik pun bomba dah sudah ada,” katanya ketika ditemui ketika menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), Datuk Muhammad Olian Abdullah, di lokasi kejadian, di sini hari ini.
Katanya, dia bersyukur dan terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang yang segera menghulurkan bantuan kepada keluarganya.
“Terima kasih kepada YAB. Menteri Besar Pahang. Memang banyak-banyak terima kasih yang membantu saya yang kesusahan dalam masa ini,” ujarnya.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Sawah Batu, Encik Hamid A/L Sepeh berkata, bantuan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri termasuk pembinaan rumah baharu menunjukkan keprihatinan tinggi terhadap masyarakat Orang Asli.
“Saya merakamkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri terutama sekali Tok Wan (YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) yang memberi sumbangan kepada mangsa kebakaran.
“Jadi apabila ada bantuan seperti ini dengan sumbangan apa semua, saya rasa banyak-banyak terima kasihlah kepada Kerajaan Negeri dan mana-mana yang terlibat,” katanya.
Tambahnya, tindakan pantas Kerajaan Negeri menyalurkan pelbagai bentuk bantuan dalam tempoh kurang sebulan wajar dipuji.
“Saya rasa memang pantas (hulur bantuan) sebab kebakaran ini tak sampai sebulan. Banyak sumbangan daripada ORACO, rumah dan sebagainya. Memang tak sampai sebulan sumbangan banyak masuklah,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

