Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
PEKAN, 09 APRIL 2026 : Keprihatinan Kerajaan Pahang terserlah apabila bertindak pantas meluluskan pembinaan rumah percuma menerusi inisiatif Rumah Rakyat Pahang (RRP) kepada sebuah keluarga Orang Asli di Kampung Sawah Batu, Bebar yang hilang tempat tinggal akibat kebakaran awal bulan ini.
Kejadian yang berlaku pada 2 April lalu kira-kira pukul 7 malam itu memusnahkan 100 peratus rumah milik Amat A/L Roslan, 38.
Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), YH. Dato’ Muhammad Olian Abdullah berkata, bertindak atas arahan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bagi meninjau keadaan mangsa serta mengenal pasti bentuk bantuan yang perlu disalurkan.
“Dan begitu juga dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff minta saya juga mewakili beliau untuk pergi melihat keadaan di sini dan apa bantuan yang patut kita bantu kepada mereka di sini.
“Jadi Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk meluluskan segera sebuah rumah RRP (Rumah Rakyat Pahang) untuk ganti rumah yang terbakar itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Tambahnya, bantuan segera turut disalurkan termasuk sumbangan tunai sebanyak RM1,000, bakul makanan serta keperluan asas lain bagi meringankan beban keluarga terbabit.
“Dan saya lihat keadaan di sini, dari segi keadaan mereka agak kekuranganlah ya. Banyak perkara yang perlu kita lihat dan tadi juga dari segi anak dia sekolah itu… kita akan usahakan untuk dari segi pakaiannya, dari segi bukunya yang terbakar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut meneliti keperluan lain penduduk kampung terbabit termasuk kemudahan asas seperti bekalan air yang dilihat sukar disalurkan melalui sistem paip berikutan kedudukan kawasan yang jauh di pedalaman.
“Dan saya tadi minta saya punya engineer (jurutera) untuk tengok kemungkinan kita boleh guna underground water atau sumber air asli,” katanya lagi.
Katanya lagi, bagi rumah baharu yang akan dibina, Kerajaan Negeri turut mempertimbangkan penyediaan generator sebagai sumber tenaga elektrik bagi kemudahan penduduk.
“Jadi dari segi Kerajaan Negeri Pahang ini memang sentiasa mengambil maklum dan kita akan sentiasa berusaha untuk pastikan bahawa keadaan kehidupan masyarakat orang asli di Negeri Pahang ini terbela,” ujarnya lagi.
Dalam lawatan sama, beliau turut meninjau sebuah lagi kediaman daif di kampung berkenaan dan meminta pemiliknya mengemukakan permohonan bagi membolehkan bantuan sewajarnya dipertimbangkan. -PAHANGMEDIA

