Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
LIPIS, 9 APRIL 2026 : “Terima kasih Menteri Besar Pahang (YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) kerana membaiki rumah saya… Dulu tak boleh tidur, sekarang dah boleh tidur dengan selesa.”
Itu luahan penuh syukur seorang penduduk Orang Asli di Sungai Garam di sini yang menerima manfaat daripada inisiatif Rumah Rakyat Pahang (RRP).
Menerusi satu rakaman video yang tular di media sosial, jelas terpancar kegembiraan dan rasa terharu dalam kalangan penerima apabila kediaman lama mereka dibaik pulih menjadi lebih selesa, selamat dan sesuai didiami.
Video yang dimuat naik oleh akaun TikTok Peneroka Belantara yang meraih 32,400 ribu tontonan itu turut memaparkan beberapa penerima berkongsi pengalaman mereka, termasuk seorang wanita dikenali sebagai Yati yang tidak dapat menyembunyikan rasa gembira.
“Terima kasih Menteri Besar, rumah saya cantik… ada tiga bilik,” katanya ringkas namun penuh makna.
Bagi mereka, bantuan tersebut memberi sinar baharu dalam kehidupan seharian, terutama dari segi keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan keluarga.
Seorang lagi penerima turut berkongsi perubahan ketara yang dialami selepas rumahnya dibaik pulih.
“Dulu susah nak tidur… sekarang dah selesa, Alhamdulillah,” ujarnya.
Inisiatif Rumah Rakyat Pahang ini dilihat sebagai bukti keprihatinan Kerajaan Negeri dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya komuniti Orang Asli yang memerlukan perhatian dari segi kemudahan asas.
Melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO), program RRP Kuota Orang Asli yang diperkenalkan sejak 2023 bukan sahaja menawarkan pembinaan rumah pada harga mampu milik, malah turut merangkumi bantuan baik pulih kediaman serta penyediaan kelengkapan asas seperti peralatan elektrik.
Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat secara menyeluruh. – PAHANGMEDIA

