Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 05 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang akan mengkaji mengenai penambahan jumlah bantuan Program Barakah Haji Pahang yang diterima jemaah haji di negeri ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata ini memandangkan terdapat peningkatan kos dan pelbagai aspek lain oleh jemaah yang perlu diambil kira.
“Dan bantuan RM750 ini saya dah minta saudara saya, Dato’ Sri Syed (Syed Ibrahim) mengkaji semula kerana ini (jumlah bantuan) telah dua tahun. Kenaikan kos dan sebagainya untuk tahun depan.

“Dan sekiranya Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan kewangan kita akan kaji dan kita akan tambah,” katanya.
Beliau berkata Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan hampir RM1.7 juta bagi bantuan Program Barakah Haji Pahang pada tahun ini melibatkan 1,712 jemaah haji Negeri Pahang.
“Di Pahang, alhamdulillah, seramai 1,712 orang yang akan menunaikan haji dan Kerajaan Negeri seperti biasa memberi sedikit bantuan, RM750 sebagai duit poket dan juga retort makanan dan juga buku kumpulan doa.

“Untuk jemaah hari ini kita peruntukkan hampir RM1.7 juta. Kerajaan Negeri memperuntukkan hampir RM3 juta untuk program ini, already budgeted,” katanya.
Beliau turut melahirkan harapan agar jemaah haji turut menjaga kesihatan dan dapat menunaikan ibadah dengan lancar dan sempurna.
“Dan saya ucapkan syabas dan tahniah kepada jemaah haji. Saya harap mereka dapat menunaikan haji dengan sempurna, sabar, tabah dan banyakkan berzikir, jaga kesihatan, minum air. Semoga selamat pergi dan selamat kembali ke tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji Dan Penyampaian Inisiatif Makmur Pahang Program Barakah Haji Pahang Tahun 1447 Hijrah / 2026 Masihi di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Asmadi Mohamed Naim.
Kesemua jemaah haji di negeri ini menerima bantuan wang tunai RM750, pek makanan retort, dan buku Himpunan Doa Arafah, Ziarah Makam Rasulullah dan Jannatul Baqi’ setiap seorang. -PAHANGMEDIA

