Oleh : Norhafizan Zulkifli
LIPIS, 04 APRIL 2026 : Kira-kira 10,000 pengunjung menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelai yang berlangsung di Dewan Terbuka Laman Sejahtera Jelai, Sungai Koyan, di sini hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataannya berkata, majlis berkenaan menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dan masyarakat setempat.

Katanya, ia selaras dengan semangat Aidilfitri yang menitikberatkan nilai perpaduan dan keharmonian.
Majlis turut dihadiri YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Fadzilla Haji Salleh, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.

Tambahnya, program tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar hasil kerjasama pelbagai pihak yang terlibat sejak peringkat perancangan hingga pelaksanaan.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini. Komitmen serta kerjasama yang diberikan amat dihargai,” katanya.
Beliau dalam pada itu, turut menzahirkan penghargaan kepada ribuan tetamu yang hadir memeriahkan majlis berkenaan.

“Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan mencerminkan semangat perpaduan, kekeluargaan serta keindahan sambutan Aidilfitri yang sebenar.
“Semoga ukhuwah yang terjalin ini terus diperkukuh dan menjadi asas kepada kesejahteraan serta kemakmuran bersama. Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin,” ujarnya.
Majlis tersebut turut menyajikan pelbagai juadah tradisional dan moden kepada para pengunjung, sekali gus menambahkan lagi kemeriahan suasana. -PAHANGMEDIA

