Oleh : Ahmad Fansuri Mohamad Nasir
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JOHOR, 04 APRIL 2026 : Delegasi alumni Program Pahang Lead meneruskan siri lawatan penanda aras dengan mengunjungi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Stadium Sultan Ibrahim, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), para alumni disambut oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal bin Ngadiman, Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) serta Encik Nurul Amrie bin Abdullah, Timbalan Pendaftar UTM merangkap Penasihat Sekretariat Mahasiswa Anak Pahang (SEPADU), bersama Yang Dipertua dan barisan Exco SEPADU UTM dalam suasana mesra dan penuh semangat kekeluargaan.

Taklimat pengenalan telah disampaikan oleh Nur Eliyana Binti Mohammad Nizam, Yang Dipertua SEPADU UTM, yang berkongsi mengenai pengalaman mahasiswa anak Pahang serta peranan organisasi pelajar dalam memperkukuh jaringan dan kebajikan pelajar di universiti.
“SEPADU mengalu-alukan kedatangan alumni Pahang Lead ke UTM.
“Kami mengambil kesempatan ini untuk memberikan taklimat mengenai UTM, termasuk fasiliti yang disediakan serta pelbagai inisiatif Kerajaan Negeri Pahang di bawah pentadbiran YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy Wan Ismail kepada anak-anak Pahang yang melanjutkan pengajian di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta,” katanya kepada Pahang Media di sini, hari ini.

Sepanjang lawatan, para alumni turut dibawa melawat beberapa fasiliti utama universiti termasuk perpustakaan, balai cerap serta pusat rekreasi, sekali gus memberi gambaran menyeluruh tentang ekosistem pembelajaran dan kehidupan kampus.
Selain itu, lawatan ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor Darul Ta’zim (JDT) turut memberi pendedahan kepada peserta mengenai pengurusan sukan profesional, merangkumi aspek fasiliti bertaraf dunia, penjenamaan pasukan serta budaya kecemerlangan yang menjadi teras kejayaan kelab tersebut.

Program ini turut disertai Pengarah Akademi Pahang 1st, Encik Hamizi bin Yaakub dan disokong oleh 33 orang urus setia yang memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perjalanan program sepanjang empat hari penganjuran.
Seramai 48 alumni Program Pahang Lead menyertai program pendedahan kepimpinan pelajar di peringkat tempatan dan antarabangsa menerusi inisiatif Kerajaan Negeri Pahang melalui Akademi Pahang 1st dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) serta Yayasan Pahang (YP).
Program yang berlangsung di Johor Bahru dan Singapura dari 2 hingga 5 April 2026 itu bertujuan memperluas skop pemikiran serta memperkukuh kemahiran kepimpinan dalam kalangan peserta melalui pendedahan secara langsung di lapangan. -PAHANGMEDIA

