Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 03 APRIL 2026 : Yayasan Pahang terus mencipta kejayaan membanggakan apabila menerima anugerah Malaysia Technology Excellence Awards 2026 dalam kategori Data Management – Government Organisation menerusi inovasi Sistem Pemantauan Hafazan Pra Tahfiz KEMAS (myTahfiz) baru-baru ini.
Penyertaan Yayasan Pahang bersama organisasi terkemuka lain dalam majlis ini membuktikan keupayaan yang setanding dengan pemain utama negara dalam penerapan penyelesaian teknologi berimpak tinggi.
Anugerah tersebut telah diterima oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH. Datoโ Indera Mahmud Mohd Nawawi pada majlis yang berlangsung di InterContinental Hotel Kuala Lumpur.
Majlis anjuran Asian Business Review itu turut menghimpunkan pelbagai organisasi terkemuka dari sektor korporat dan awam seperti PETRONAS, CIMB Bank Berhad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Kejayaan ini turut mencerminkan komitmen berterusan Yayasan Pahang dalam memanfaatkan pendigitalan bagi pemerkasaan pendidikan awal kanak-kanak yang berasaskan Al-Quran.

Sistem pendigitalan myTahfiz ini dibangunkan untuk merekod, menyimpan dan menganalisis pencapaian hafazan murid TABIKA KEMAS secara sistematik, teratur dan bersepadu.
Inisiatif tersebut dilaksanakan melalui kerjasama Yayasan Pahang bersama Bahagian Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Selain itu, Yayasan Pahang turut menyediakan modul hafazan yang dibangunkan oleh Tadika Tahfiz Negeri Pahang (TTNP) serta memberi latihan kepada guru-guru TABIKA yang terlibat.
Ssistem tersebut mula digunakan pada 2024 sebagai projek rintis sebelum dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2025 melibatkan kira-kira 140,000 murid TABIKA KEMAS di seluruh negara.
Pelaksanaan berskala besar ini membuktikan keupayaan sistem berkenaan dapat memperkukuh pengurusan data murid, menyeragamkan kaedah penilaian, sekali gus meningkatkan kecekapan pemantauan program hafazan presekolah secara nasional. -PAHANGMEDIA

