Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 03 APRIL 2026 : Pahang dipilih sebagai antara enam negeri terawal menerima kemudahan digital berteraskan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha kerajaan memperkasa pendidikan teknologi tinggi dalam kalangan pelajar negara ini.
YAB. Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, negeri ini bersama Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak dan Pulau Pinang akan menjadi perintis kepada pelaksanaan inisiatif berkenaan yang menyasarkan kira-kira 3,000 pelajar instutusi pengajian tinggi termasuk institusi pengajian Islam terpilih.
Katanya, kemudahan tersebut akan disalurkan menerusi kerjasama antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kita dah umumkan semua pelajar harus terdedah dengan kemudahan kecerdasan buatan, AI. Ini termasuk di institut pengajian di negara kita dan juga di institut pengajian Islam.
“Jadi sebagai langkah awal, MDEC dan JAKIM akan berikan kemudahan digital di institusi perintis enam negeri, Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak dan Pulau Pinang yang menyasarkan 3,000 pelajar supaya terdedah dengan ‘artificial intelligence’, pemikiran kritis dan inovasi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Himpunan Anak Pahang Madani (HAPM) 2026 di Pusat Transformasi Bandar (UTC), di sini hari ini.
Hadir sama, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Dr. Mohammed Taufiq Johari; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang.

Beliau dalam pada itu menegaskan kemajuan teknologi seperti AI tidak memberi makna sekiranya nilai kemanusiaan dan akhlak diabaikan.
“Sebab itu saya kata akhlak itu penting, budaya itu penting. Hubungan yang baik antara saudara-mara, anak-anak itu penting. Hilangkan rasa dengki dan cemuh, memperbodohkan sesama sendiri,” ujarnya.
Selain itu, beliau turut mengumumkan peruntukan RM600,000 bagi menaik taraf gelanggang futsal di Kampung Bukit Beirut serta RM500,000 untuk pembinaan dewan pembelajaran baharu di Pusat Pengajian Islam Ribat Al-Mustafa, Sungai Karang. -PAHANGMEDIA

