Oleh : Ahmad Fansuri Mohamad Nasir
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
JOHOR, 03 APRIL 2026 : Program Pahang Lead, inisiatif Kerajaan Negeri Pahang melalui Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) dengan kerjasama Yayasan Pahang (YP), terus membuktikan keberkesanannya dalam melahirkan generasi pelajar berkualiti dan berdaya saing.
Program yang bertujuan mencungkil potensi serta membentuk anak Pahang yang berwibawa, beridentiti dan berjati diri tinggi serta cintakan negeri ini, telah berjaya melahirkan pelajar cemerlang dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 yang diumumkan baru-baru ini.
Kejayaan tersebut mencerminkan keberhasilan pendekatan holistik program berkenaan dalam membina bukan sahaja kecemerlangan akademik, malah kepimpinan, sahsiah dan semangat jati diri dalam kalangan pelajar.

Salah seorang pelajar cemerlang, Khodijah Insyiroh Mohd Azman dari Sekolah Menengah Agama Al-Maarif, Bukit Goh, Kuantan, berjaya memperoleh keputusan 11A.
Beliau menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail atas pelbagai inisiatif pendidikan yang disediakan, termasuk buku modul Pahang 1st SPM Tok Wan 2025, kit alatan tulis Tunas Makmur serta bantuan makanan tengah hari Juadah Makmur.
“Saya dapat memahami format dan kehendak soalan dengan lebih jelas, dan buku latihan ini banyak membantu saya.
Selain itu, set alatan tulis dan Juadah Makmur yang diberikan turut meringankan beban saya dan ibu bapa,” katanya ketika ditemui sempena Lawatan Penanda Aras Alumni Pahang Lead Akademi Pahang 1st di Institut Dato’ Onn, Iskandar Puteri, semalam.
Tambah beliau, penyertaannya sebagai peserta Pahang Lead Elite memberi peluang mengikuti program gerak gempur Tier 4 yang menjadi platform pecutan terakhir dalam persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Sementara itu, seorang lagi pelajar cemerlang, Ahmad Jihbaz Muhhlis Nordin dari Sekolah Menengah Sultan Ahmad Shah, Cameron Highlands, turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri atas inisiatif yang disifatkan sangat membantu.
“Inisiatif ini banyak membantu meningkatkan prestasi akademik saya. Dalam peperiksaan percubaan, saya hanya memperoleh 6A, namun dengan bantuan buku latihan SPM, saya berjaya mencapai keputusan 10A dalam SPM sebenar,” katanya.
Dalam keputusan rasmi yang diumumkan, Ahmad Jihbaz memperoleh 10A, sekali gus membuktikan keberkesanan sokongan berterusan yang diberikan.
Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan komitmen berterusan YAB Menteri Besar Pahang dalam memperkukuh agenda pendidikan negeri, selari dengan Aspirasi Pahang 1st bagi melahirkan generasi cemerlang dan berdaya saing. -PAHANGMEDIA

