Oleh : Norhafizan Zulkifli & Ummul Qistina Sofea Mohd Ghazali
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 02 APRIL 2026 : Kerajaan Negeri Pahang memastikan tiada petugas agama yang tercicir dalam menerima Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) Kluster Agama yang diagihkan secara berperingkat di seluruh negeri ini sejak Ramadan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bantuan tersebut melibatkan semua lapisan petugas agama termasuk imam, bilal, siak, wali hakim, guru takmir, guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) serta guru al-Quran asrama.

Katanya, pemberian itu merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri di bawah aspirasi diperkenalkan YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
“Ya, betul, tak ada (yang tercicir). Kita dah sampaikan kepada imam, bilal, siak, wali hakim, khairat kematian, dan guru takmir. Dan kali ini giliran guru al-Quran asrama dan juga guru KAFA.
“Yang uniknya guru al-Quran asrama ini, dia adalah satu-satunya yang wujud di negara kita, hanya di Negeri Pahang Darul Makmur. Tak ada di negeri lain.

“Kita mempunyai seramai 350 orang guru al-Quran asrama. Kita edarkan di asrama-asrama untuk membantu segala sekolah berkenaan yang anak muridnya mungkin perlu kepada pendedahan dan bantuan untuk mengajar bacaan al-Quran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai Majlis Penyerahan Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) kepada guru KAFA dan Guru al-Quran Asrama Negeri Pahang tahun 2026 selaku wakil rasmi YAB. Menteri Besar Pahang bertempat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Hakim Syarie Pahang ialah YAA. Dato’ Haji Abdul Walid Haji Abu Hassan; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Pahang (JAIP), YH. Dato’ Haji Ahmad Khirrizal Haji Ab. Rahman; barisan ketua-ketua jabatan dan pimpinan setempat.
Dalam pada itu, seramai 3,002 penerima di seluruh negeri menerima manfaat BKA membabitkan peruntukan sebanyak RM600,400 merangkumi 2,652 guru KAFA dan 350 guru al-Quran asrama.
Bagi Zon 1 melibatkan Bandaraya Kuantan dan Kuantan Barat, seramai 723 penerima menerima bantuan berkenaan terdiri daripada 683 guru KAFA dan 40 guru al-Quran asrama.

Tambahnya, penyaluran bantuan dibuat secara berjadual berikutan jumlah penerima yang ramai selain kekangan jadual program kerajaan negeri sepanjang Ramadan lalu.
Katanya lagi, program terbabit akan diteruskan ke daerah lain termasuk Bera, Temerloh, Maran, Raub, Cameron Highlands, Lipis, Bentong serta Jerantut dalam masa terdekat.
“Dengan sumbangan daripada Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Pusat ini dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk terus termotivasi, mendidik anak-anak kita di Pahang dan beri pengetahuan-pengetahuan agama yang betul dan tepat,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

