Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 02 APRIL 2026 : Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) yang disalurkan Kerajaan Negeri Pahang nyata memberi kelegaan kepada petugas agama khususnya guru KAFA dan guru al-Quran asrama dalam menampung perbelanjaan keperluan harian.
Seorang guru al-Quran asrama, Cik Nurul Ain Najah Kamaruzzaman, 27, berkata, bantuan tersebut amat membantu menambah pendapatan memandangkan elaun yang diterima golongan itu lebih rendah berbanding pekerjaan lain.

“Bagi sayalah dia membantu sebab berdasarkan elaun kita orang kan tak capai sebagaimana gaji orang biasalah. Jadi dia (BKA) akan tambahlah untuk pendapatan. Boleh guna untuk menampung perbelanjaan.
“Saya mengucapkan terima kasih banyak kepada YAB. Menteri Besar dan Kerajaan Negeri Pahang kerana memberi sumbanganlah dan cakna serta prihatin atas nasib kita orang golongan guru al-Quran asrama,” katanya.

Sementara itu, guru KAFA, Encik Muhammad Amir Haikal Zulhijah, 27, berkata, bantuan tersebut membantu mengurangkan beban kewangan keluarganya.
“Sumbangan ini boleh kurangkanlah bebanan keluarga saya, yang mana kami hanya bekerja sebagai guru KAFA sahaja. Apabila dapat bantuan ini dapat mengurangkan beban sayalah, yang mana saya pun dah ada anak.
“Terima kasih kepada YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy atas bantuan ini. Semoga Kerajaan Negeri Pahang terus memberi bantuan kepada guru-guru KAFA dan membela nasib guru-guru KAFA,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi guru KAFA, Cik Khairul Nisa Khairul Anwar, 25, berkata, walaupun tidak besar, namun amat bermakna buat golongan guru KAFA sepertinya.
“Sangat membantulah sebenarnya. Tak banyak pun paling kurang sikit bolehlah. Terima kasih untuk sumbangan ini… kepada YAB Menteri Besar Pahang dan Kerajaan Negeri Pahanglah terutamanya atas bantuan yang diberikan kepada guru-guru KAFA,” katanya. -PAHANGMEDIA

