KUANTAN, 26 MAC 2026 : Loji Rawatan Air (LRA) Batu Sawar kini kembali beroperasi selepas kerja-kerja baik pulih komprehensif dan penyelenggaraan berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual.
Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam satu kenyataan memaklumkan kerja-kerja melibatkan paip pengepaman, penyambungan tee serta instrumen dalaman penting itu telah siap sepenuhnya pada jam 8.00 malam tanpa sebarang insiden.
Menurut kenyataan itu, operasi loji telah disambung semula pada jam 8.30 malam dan proses rawatan air sedang berjalan seperti biasa.


“Pengisian tangki imbangan dan tangki simpanan sedang dilakukan bagi memastikan tekanan dan aliran air kembali stabil,” menurut kenyataan berkenaan.
Sehubungan itu, pengguna di kawasan terjejas dijangka menerima semula bekalan air secara berperingkat selepas sistem agihan kembali pulih sepenuhnya.
PAIP turut memaklumkan tempoh pemulihan bekalan adalah berbeza mengikut lokasi, bergantung kepada jarak premis pengguna dan tekanan sistem agihan air.
Sebagai langkah sementara, bekalan alternatif melalui lori tangki, lori tangki jumbo dan tangki statik akan terus digerakkan di kawasan yang masih terjejas sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.
Dalam pada itu, PAIP merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta operator air negeri lain termasuk Syarikat Air Selangor, Syarikat Air Melaka, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang, Syarikat Air Johor, Syarikat Air Negeri Sembilan, Syarikat Air Terengganu dan Air Kelantan atas bantuan yang diberikan sepanjang operasi.
Penghargaan turut dizahirkan kepada kepimpinan setempat dan semua pihak yang terlibat dalam memastikan kelancaran operasi di lapangan.
Orang ramai yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di 09-5739999 yang beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam. – PAHANGMEDIA

