Oleh : Ain Nadhirah Basha
KUANTAN, 24 MAC 2026 : Bekalan air bagi 3,500 akaun melibatkan beberapa kawasan di Maran dan Temerloh akan mengalami gangguan pada Khamis ini berikutan kerja baik pulih dan penyelenggaraan di Loji Rawatan Air (LRA) Batu Sawar.
Menurut satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari, gangguan bekalan air berjadual akan bermula pada 9 pagi, 26 Mac 2026 yang dijangka mengambil masa selama 12 jam.
“Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) ingin memaklumkan pelaksanaan kerja-kerja baik pulih komprehensif dan penyelenggaraan paip pengepaman, penyambungan tee dan instrumen dalaman penting di LRA Batu Sawar, Maran. Kerja-kerja ini perlu dilakukan segera bagi mengelakkan mudarat terhadap pengoperasian loji pada skala yang lebih besar di masa akan datang.
“Pelaksanaan kerja-kerja ini akan menyebabkan gangguan bekalan air berjadual yang melibatkan beberapa kawasan di Daerah Maran dan Temerloh. Proses kerja baik pulih ini akan bermula pada jam 9.00 pagi , 26 Mac 2026 (Khamis) dan dijangka ambil masa selama 12 jam, dengan jangkaan siap pada jam 9.00 malam hari yang sama.
“Senarai kawasan yang dijangkakan akan mengalami gangguan bekalan air berjadual adalah seperti berikut; Daerah Maran; Jengka 17, Jengka 18, Jengka 19, Jengka 23, Felda Sungai Nerek, Felda Kampung Awah dan kawasan sekitar. Daerah Temerloh; Kampung Batu Sawar, Kampung Dingkir, Kampung Kerai, Kampung Pulau Pasir Mandi, Kampung Purun, Kampung Macang Manis, Kampung Paya Sendayan, KOA Paya Sendayan, Kampung Galok Kecil, Kampung Nuor, Kampung Paya Perak, Kampung Padang Paku, KOA Padang Paku dan kawasan sekitar. Jumlah akaun terlibat, 3,500 akaun,” katanya.
Menurut beliau, bekalan air akan mula disalurkan kepada pengguna secara berperingkat setelah kerja-kerja penyelenggaraan siap sepenuhnya dan setelah sistem agihan bekalan air distabilkan.

“Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air di kawasan-kawasan yang terjejas juga adalah berbeza bergantung kepada jarak lokasi premis pengguna dan tekanan pada sistem agihan bekalan air.
“Oleh yang demikian, PAIP juga akan menyediakan bantuan alternatif melalui lori tangki air kepada pengguna dengan keutamaan diberikan kepada premis-premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan premis berkaitan yang memerlukan bekalan air secara berterusan.
“Sejumlah 40 lori tangki, 8 lori tangki jumbo dan 150 tangki statik akan di atur gerak bagi meringankan kesulitan dihadapi pengguna sepanjang gangguan ini,” katanya.
Beliau berkata, melalui pemakluman awal oleh pihak PAIP ini diharap dapat membantu penduduk terlibat dalam membuat persediaan awal.
“Justeru itu, PAIP berharap dengan pemakluman awal notis ini dapat memberikan persediaan awal kepada pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemah sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini,” katanya.
Tambah beliau, pihak PAIP juga akan berusaha sebaik mungkin bagi meminimakan tempoh gangguan dengan melaksanakan persediaan kerja-kerja awalan untuk memastikan tempoh gangguan yang minima dihadapi penduduk terjejas.
“PAIP amat memahami kesulitan yang dialami oleh pengguna dan memberi jaminan bahawa segala usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan kerja-kerja baik pulih yang akan dijalankan berjalan lancar seperti dirancang.
“Pengguna yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) di talian 09-5739999 yang beroperasi selama 18 jam sehari bermula jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam setiap hari,” katanya. -PAHANGMEDIA

