Oleh: Aimi Syafiqa Khairi
KUANTAN, 18 MAC 2026: Kerajaan Negeri Pahang terus komited dalam memperkasa kebajikan rakyat dengan menyalurkan cek sumbangan kepada 57 penerima, hari ini.
Puan Nur Maizatul Fazira Muhammad Azhar, 33,
berasa amat bersyukur apabila sumbangan tersebut dapat meringankan bebannya untuk menampung kos perubatannya.

“Alhamdulillah, syukurlah sebab boleh meringankan sikit beban sebab saya pun guna untuk perubatan, jadi bila dapat bantuan ini bolehlah ringankan sikit.
“Saya ada SLE (Systemic Lupus Erythematosus) dan buah pinggang dan saya dah 10 tahu dah lakukan dialisis. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang pada Tokwan (YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail) sebab bagi bantuan ini,” katanya.
Manakala, Roslan Abdul Qadir, 23, seorang pelajar di UCYP University menerima sumbangan sebanyak RM20,000 bagi menjayakan Program Penghayatan Aspirasi Pahang 1st yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UCYP Univerisity.

“Hari ini saya datang untuk mengambil cek sumbangan sebanyak RM20,000 bagi Program Penghayatan Aspirasi Pahang 1st yang bakal dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar UCYP Univerisity.
“Alhamdulillah saya sangat gembira kerana kita pun tidak sangka sebab sumbangan ini banyak tapi diatas keprihatinan Tokwan dan juga Kerajaan Negeri Pahang dapat juga diberikan kepada MPP UCYP University,” katanya.
Sumbangan cek Kerajaan Negeri Pahang tersebut telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, dengan nilai keseluruhan RM988,910 di Pusat Pentadbiran Sultan Ahmad Shah (PPSAS).-PAHANGMEDIA

