Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
LIPIS, 15 MAC 2026 : “Rasa seronoklah, untuk beli barangan raya nanti,” kongsi Encik Mohamad Noor Yaakub, penerima Bantuan Sempena Aidilfitri Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP).
Encik Mohamad Noor, 76, dari Rancangan Sosial PKPP (RPSK) Peruang dilihat terharu selepas menerima bantuan yang disifatkan sangat membantu dirinya tambahan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

“Rasa bangga, suka lah bangga rasa (bila dapat bantuan ini). Dapat beli keperluan harian, nak beli barang raya.
“Saya ucapkan terima kasih pada Kerajaan Negeri, nak dekat raya memang tunggu bantuan ni. Hasil daripada ni je lah ada tambah untuk raya punya, seronoklah,” katanya.
Puan Aziah Hassan, 64, dari RPSK Merapoh turut melahirkan rasa gembira dengan bantuan sempena Aidilfitri yang diterimanya setiap tahun sebagai peserta Rancangan Sosial PKPP.

“Rasa gembira, boleh guna untuk Hari Raya, untuk anak-anak cucu balik kan. Guna untuk belanja raya. Terima kasih banyak Dato Sri Menteri Besar dan kerajaan yang bagi sumbangan untuk kami.
“Kami tak mampu dah kerja. Dapat yang ni pun syukur sangat. Alhamdulillah,” katanya yang mengalami strok sejak lima tahun lepas dan bergantung kepada kerusi roda bagi pergerakan harian.
PKPP memperuntukkan RM606,200 untuk diagihkan kepada 866 orang peserta daripada tujuh Rancangan Sosial PKPP dengan setiap peserta akan menerima bantuan tunai sebanyak RM700 seorang.
Bagi daerah Lipis, sebanyak RM275,800 diperuntukkan khusus kepada peserta Rancangan Sosial di Daerah Lipis melibatkan tiga rancangan sosial, iaitu RPSK Merapoh, RPSK Jerkoh dan RPSK Peruang melibatkan 394 orang peserta yang disampaikan oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benta; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Abdul Rahman Hj Mohamad yang juga Ahli Parlimen Lipis; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, YB. Dato’ Mustapha Haji Long; dan Pegawai Daerah Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim. -PAHANGMEDIA

