Oleh : Ahmad Fansuri Mohamad Nasir
KUANTAN, 12 MAC 2026 : Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) membekukan cuti Aidilfitri melibatkan semua kakitangan termasuk pihak pengurusan tertinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif sebagai langkah memastikan operasi bekalan air di seluruh negeri berjalan lancar sepanjang musim perayaan.
Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Datuk Saiful Zaini Mohd. Bokhari berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan sebarang gangguan atau kecemasan dapat ditangani dengan segera ketika tempoh peningkatan penggunaan air.
Menurutnya, tindakan tersebut merupakan sebahagian daripada Pelan Kesiapsiagaan dan Operasi Tunggu Sedia yang diaktifkan bermula 14 hingga 27 Mac.
“Setiap kali musim perayaan, penggunaan air di beberapa kawasan meningkat secara ketara berikutan kepulangan perantau ke kampung halaman.
“Sistem bekalan air pada asalnya tidak dibina khusus untuk menampung lonjakan penggunaan ketika musim perayaan, sama seperti jalan raya yang tidak direka khas untuk kesesakan lalu lintas semasa Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa Pengurusan Air Pahang Berhad bersama Rumah Kanak-Kanak Tengku Ampuan Fatimah dan Pengamal Media Negeri Pahang bertempat di Hotel Shahzan, semalam.
Majlis itu turut dihadiri Pengarah Komunikasi Strategik Negeri Pahang, Khairul Anwar Ahmad Nadzer serta Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Khairul Amri Ahmad.
Dalam usaha memperkukuh kesiapsiagaan, Saiful Zaini berkata PAIP turut menyediakan 1,288 tangki statik dan 34 lori tangki bagi menghadapi kemungkinan gangguan bekalan air sepanjang musim perayaan.
Menurut beliau, tangki statik tersebut ditempatkan di lokasi berisiko tinggi, manakala kontraktor turut dilantik bagi menyediakan perkhidmatan lori tangki jumbo secara tunggu sedia untuk mempercepatkan agihan bekalan air sekiranya berlaku gangguan.
Tambahnya lagi, sebanyak 30 stesen pengisian air turut disediakan di seluruh Pahang bagi memudahkan pengambilan air untuk tujuan agihan bekalan alternatif.
“Kontraktor pembaikan juga dilantik secara tunggu sedia di setiap daerah bagi memastikan sebarang insiden luar jangka dapat ditangani dengan segera.
“Selain itu, penjana elektrik turut disediakan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi loji rawatan air (LRA) yang berada di kawasan berisiko tinggi terputus bekalan elektrik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada petugas sektor air yang terus menjalankan tugas sepanjang musim perayaan dan menyifatkan mereka sebagai ‘wira yang tidak didendangkan’ dalam memastikan bekalan air kepada pengguna sentiasa terjamin.
Orang ramai yang berdepan masalah bekalan air boleh menghubungi talian khidmat pelanggan PAIP di 09-573 9999, yang beroperasi 18 jam sehari bermula 6 pagi hingga 12 tengah malam, bagi membolehkan tindakan segera diambil.

