Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 10 MAC 2026 : Kerajaan Pahang memperkenalkan Anugerah Usahawan sempena Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 bagi memberikan pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Dato’ Amizar Abu Adam berkata, anugerah ini merupakan satu penanda aras Kerajaan Negeri untuk melahirkan dan memperkasakan usahawan di negeri ini.
“Anugerah ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Pahang untuk memberikan pengiktirafan kepada usahawan tempatan yang telah pun menunjukkan pencapaian cemerlang yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri ini dan juga menjadi inspirasi kepada lebih ramai usahawan untuk terus berkembang.

“Ini adalah salah satu inisiatif yang telah didirikan hasil ilham daripada YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail sendiri,” katanya ketika ditemui selepas sesi pembentangan dan pemilihan Anugerah Usahawan sempena penganjuran Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo tahun 2026 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Tambahnya, proses pemilihan bagi anugerah tersebut dilaksanakan secara telus melalui beberapa peringkat penilaian yang melibatkan pelbagai agensi berkaitan.
“Proses pemilihan ini dilaksanakan secara telus iaitu melalui beberapa peringkat penilaian. Ianya bermula daripada agensi yang terlibat dan penilaian ini berhasil daripada pemilihan terakhir maksudnya mereka akan mengikuti proses-proses tersebut.

“Usahawan yang berada pada tiga tempat teratas akan panggil untuk buat pembentangan akhir yang akan dihadiri oleh panel-panel yang telah pun ditetapkan. Pemenang nanti akan diumumkan semasa penganjuran expo yang dijangka pada April nanti,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengharapkan anugerah tersebut dapat menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan serta mengenengahkan jenama usahawan Pahang ke peringkat antarabangsa.
“Kerajaan Negeri mengharapkan anugerah ini dapat menjadi platform, antara satunya nak mengenengahkan jenama Pahang dan usahawan Pahang ini dipanggil seantero dunia.
“Kita juga mengharapkan apa yang telah Kerajaan Negeri laksanakan hari ini dapat menjadikan ia sebagai satu platform mereka untuk melonjakkan lagi produk mereka sendiri,” katanya. -PAHANGMEDIA

