Oleh: Ain Nadhirah Basha
Foto: Farizul Hafiz Awang
KUANTAN, 11 MAC 2026 : Mahasiswa anak Pahang diharap dapat menjadi agen pengubah keadaan negeri serta menjadikan Pahang sebagai negeri terbaik daripada segi ekonomi.
Menurut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, perkara ini dapat dicapai melalui kestabilan, kemakmuran, dan ilmu yang luas.

“Tok Wan harap anak-anak semua ini akan menjadi pembela, game changer kepada Negeri Pahang dan mempertahankan kestabilan, kemakmuran di Negeri Pahang supaya kita lebih pecut lagi dan kita akan letakkan Negeri Pahang ini satu masa nanti menjadi negeri yang terbaik dari setiap segi berbanding dengan negeri-negeri lain daripada segi ekonomi.
“Kepada anak-anak daripada Pahang, Tok Wan nak pesankan lagi sekali, di mana sahaja anda berada kena pastikan Pahang First di hati sanubari dan kena ingat bahawa kestabilan, kemakmuran, harus kita pertahankan di bumi Pahang ini.
“Kalau kita tidak ada kestabilan, kalau kita tidak ada ekonomi yang kukuh, kita tidak ada ilmu yang tinggi, cuba anak-anak perhatikan apa yang berlaku di Iran sekarang ini apa yang berlaku di Israel, bumi Arab hantar roket ke bumi Arab juga sebab apa, sebab ada military base daripada kuasa besar,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyeru anak-anak dari negeri Darul Makmur ini untuk menjadi hebat daripada segi mengimbangkan urusan akhirat dan dunia.
“Kita nak anak-anak Pahang daripada segi hebat, daripada segi akhiratnya hebat, ingat kata-kata Tok Wan dunia jangan tinggal, akhirat kita cari.

“Kalau kita tidak seimbangkan ini akhirnya orang Melayu, orang Islam akan ketinggalan kalau kita tumpu 100 peratus pada agama, siapa yang nak jaga ekonomi kita siapa, yang nak buat bangunan siapa yang nak mengajar kita dan sebagainya jadi kita kena seimbangkan antara dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa YAB Menteri Besar Pahang Bersama Mahasiswa Anak Pahang di Rumah Pahang, Yayasan Pahang. -PAHANGMEDIA

