Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 10 MAC 2026 : Pahang terus mengorak langkah ke hadapan apabila Yayasan Pahang (YP) memperkenalkan YP Smart Store 24 Hours, sebuah kedai runcit pintar pertama negeri ini bertempat di Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini.
YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, inisiatif tersebut membuktikan keberanian Yayasan Pahang meneroka konsep perniagaan baharu yang lebih moden.
Menurutnya, kewujudan kedai pintar itu juga selaras dengan Aspirasi Pahang1st yang menekankan usaha menjadi peneraju dalam pelaksanaan sesuatu pembaharuan di negeri ini.

“Jadi saya ucapkan tahniah kepada Yayasan Pahang kerana dapat melaksanakannya di sini. Dan saya fikir ini adalah antara yang pertama sekali dibuat di negeri Pahang selaras dengan inspirasi Pahang1st. Pahang dulu… sebelum orang lain buat, kita buat dulu,” katanya selepas merasmikan gimik pelancaran YP Smart Store 24 Hours berkenaan. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang (YP), YH. Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi.
Tambahnya, konsep kedai pintar itu bukan sahaja memudahkan pengguna mendapatkan barangan keperluan asas, malah mampu menawarkan harga lebih rendah berikutan penjimatan kos operasi kerana tidak memerlukan tenaga kerja.
“Ianya adalah satu perniagaan, bisnes yang sangat canggih di mana tidak memerlukan ‘manpower’, ‘cashless’ dan ingin memberikan kemudahan kepada pengguna-pengguna, apatah lagi ini buat di kalangan Yayasan Pahang, memudahkan pelajar-pelajar di sini untuk membeli barangan.

“Harganya jauh lebih murah berbanding dengan tempat lain kerana saya dapati mereka dapat menjimatkan kos apabila tidak ada tenaga manusia yang digunakan dan ini lagi satu memberi kemudahan kepada orang ramailah,” katanya.
Beliau turut memaklumkan YP Smart Store 24 Hours menawarkan pelbagai barangan keperluan asas seperti makanan ringan, mi segera, ubat-ubatan asas dan produk kegunaan harian seperti yang terdapat di kedai runcit biasa.
“Lebih kurang kedai runcitlah. Maknanya ‘basic’ keperluan asas. Tak payah pergi jauh-jauh, tak payah naik motor, tak payah naik kereta. Bukan sahaja barangnya murah, kita sendiri pun menjimatkan kos.

“Dan bagi mereka yang berada di luar sana bolehlah datang ke sini untuk melihat sendiri bagaimana kemudahan, keistimewaan yang ada di sini dan mungkin selepas ini Smart Store ini akan dapat dikembangkan di tempat-tempat lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy turut berkesempatan merasmikan Majlis Peluncuran Reach Out Community @ Ramadan 2026 anjuran Majlis Belia Negeri Pahang (MBN) yang bertujuan membantu golongan belia asnaf di seluruh negeri ini.
Majlis berkenaan menyaksikan YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy menyerahkan pek makanan kepada Presidennya, Encik Saharuddin Ahmad sebagai gimik peluncuran program berkenaan.
Difahamkan MBN akan menjelajah ke 11 daerah yang dibahagikan mengikut Zon Timur, Zon Tengah dan Zon Barat di mana setiap wakil MBN di daerah masing-masing akan mengagihkan 30 pek barangan keperluan Aidilfitri kepada golongan belia asnaf termasuk mereka yang sakit, menjaga ibu bapa warga emas serta berpendapatan rendah. -PAHANGMEDIA

