Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 06 MAC 2026 : Naib Presiden UMNO, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyambut baik langkah parti membuka kembali pintu kepada bekas pemimpin dan ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama perjuangan parti itu.
Beliau berkata, seruan yang disuarakan Presiden UMNO, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu merupakan satu langkah berjiwa besar serta tepat dalam usaha memperkukuh kembali saf perjuangan parti.
Katanya, usaha tersebut juga mampu menjadi titik penting dalam menyatukan semula kekuatan UMNO sebagai wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air.
“Saya menyambut baik dan menyokong penuh kenyataan YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO membuka kembali pintu kepada bekas pimpinan dan ahli parti ini yang pernah dipecat dan digantung untuk kembali menyertai perjuangan UMNO.
Saya melihat seruan ini sebagai langkah yang tepat dan berjiwa besar dalam usaha memperkukuh kembali saf perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut menyeru pimpinan dan ahli UMNO di semua peringkat supaya menyambut baik hasrat tersebut dengan melupakan segala perbalahan serta menamatkan sengketa lama demi kepentingan parti.
Ujarnya, semua pihak juga perlu menghargai mereka yang terus setia bersama parti selain berusaha memujuk kembali mereka yang pernah menjauhkan diri daripada UMNO.
“Saya percaya usaha ini akan menjadi titik penting kepada pengukuhan semula UMNO agar terus kekal sebagai wadah perjuangan agama, bangsa dan tanah air. UMNO rumah kita,” katanya lagi.
Terdahulu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid dalam satu kenyataan memaklumkan parti itu membuka pintu ‘Rumah Bangsa’ seluas-luasnya kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian serta mana-mana individu yang mahu bersama perjuangan UMNO.
Menurut kenyataan itu lagi , langkah itu bertepatan dengan semangat Ramadan yang mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbaiki hubungan serta memperkukuh ukhuwah dalam kalangan ahli parti. -PAHANGMEDIA

