Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 06 MAC 2026 : Pahang tidak pernah melupakan penderitaan dihadapi rakyat Gaza apabila Kerajaan Negeri menerusi Pahang4Palestine menyalurkan sumbangan juadah berbuka puasa kepada 165 keluarga di Kem Nuseirat pada minggu pertama Ramadan.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, juadah iftar yang disediakan pada kali ini adalah nasi bersama ayam goreng yang diagihkan kepada keluarga-keluarga yang terjejas akibat konflik berpanjangan di wilayah berkenaan.

Katanya, walaupun sumbangan yang diberikan mungkin kelihatan kecil, namun ia membawa makna besar kepada mereka yang sedang berdepan kesukaran hidup.
“Semoga setiap suapan yang dinikmati menjadi saksi kasih, tanda solidariti dan doa yang tidak pernah putus daripada rakyat Pahang buat saudara-saudara kita di Gaza yang dihimpit kesukaran hidup,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, bantuan tersebut berjaya disampaikan hasil usaha para sukarelawan yang bertungkus-lumus menyediakan serta mengagihkan juadah kepada penerima di kem berkenaan.
“Alhamdulillah, sumbangan juadah iftar daripada Kerajaan Negeri Pahang menerusi Pahang4Palestine telah berjaya disampaikan kepada 165 keluarga di Kem Nuseirat, Gaza pada minggu pertama Ramadan.
“Terima kasih kepada para sukarelawan yang telah bertungkus-lumus menyediakan serta mengagihkan juadah ini kepada keluarga-keluarga di sana,” ujarnya. -PAHANGMEDIA

