Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Ezzatul Syafiqa Asmawai
KUANTAN, 06 MAC 2026 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan memasyhurkan Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) dengan nama Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang.
Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli ke Majlis Pengisytiharan Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang dan Majlis Kesyukuran serta Doa Selamat Sempena Ulang Tahun Yang Ke-40 Perkahwinan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang di Istana Abdulaziz, hari ini.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta isteri YHM Tengku Puan Bendahara Tengku Natasya Puteri binti Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz serta YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Turut sama, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; serta YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Yang Hormat FD Idzham bin FD Iskandar.
Ketibaan Paduka Baginda berdua pada pukul 6.50 petang disambut YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Speaker Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar; Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan.
Al-Sultan Abdullah kemudian berkenan menerima warkah perisytiharan nama UnIPSAS kepada Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang daripada YB. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry dan baginda kemudiannya berkenan menyerahkan warkah berkenaan kepada YAB. Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy.

Pertukaran warkah perisytiharan ini disaksikan oleh Dato’ Sri Nazri; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; dan Rektor UnIPSAS, Ybhg. Prof. Madya Dr. Haji Mohd Zawavi Zainal Abidin.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan menyempurnakan gimik pelancaran logo Universiti Al-Quran Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah Pahang dan seterusnya menyempurnakan penukilan tulisan khat basmallah dalam mushaf Negeri Pahang.
Kulit Mushaf Al-Quran Negeri Pahang ini merupakan hasil karya 100 peratus anak tempatan menggunakan motif dan elemen seni Negeri Pahang, antaranya Bunga Pekan serta corak yang diinspirasikan daripada kain selendang Tenun Pahang Diraja yang menjadi antara identiti seni dan warisan negeri.
Lembaran surah Al-Fatihah turut dihiasi dengan motif seni tempatan yang diinspirasikan daripada motif-motif dalam Qanun Pahang sebagai usaha menampilkan identiti warisan seni Negeri Pahang.
Paduka Baginda berdua seterusnya berkenan berangkat berbuka puasa diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang dan paduka anakanda. -PAHANGMEDIA

