Oleh : Aimi Syafiqa Khairi
Foto : Farizul Hafiz Awang
JERANTUT, 03 MAC 2026 : Seramai 739 penerima kluster agama yang terdiri daripada imam, bilal, siak, guru takmir, wali hakim serta pengurusan badan khairat kematian menerima Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) dengan peruntukan berjumlah RM175,100, hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, meskipun jumlah bantuan tersebut sederhana, ia melambangkan ingatan Kerajaan Negeri terhadap jasa mereka kepada masyarakat.
“Jadi kita bersyukur walaupun seadanya imam dapat RM300 dan yang lain-lain itu memdapat RM200 tetapi ini tanda ingatan Kerajaan Negeri.

“YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail telah mengumumkan dalam bajet hampir RM2 juta untuk diagihkan kepada imam, bilal, siak, guru takmir, wali hakim dan badan khairat kematian. Jadi hari ini giliran Jerantut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri (BKA) Kluster Agama di Masjid Tengku Mahkota Abdullah.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan bahawa keupayaan Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan adalah hasil pengurusan kewangan negeri yang berhemah dan tersusun.

“…. sebab Kerajaan Negeri mempunyai pendapatan seumpama itu kerana kewangan Negeri diuruskan dengan baik oleh YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail bersama ketua-ketua jabatan dan rakan-rakan pentadbiran Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, dicari dan diurus dengan betul.
“…. dan benda ini bukan boleh jadi begitu. Allah SWT uji kita bagaimana kita nak mentadbir, sejauh mana ketekunan kita menghadapi ujian Allah SWT itu, sejauh itu jugalah pemberian Allah SWT izinkan kepada Negeri Pahang.
“Jadi kita bersyukur Negeri Pahang dapat mengupayakan dirinya untuk menyampaikan sumbangan kepada kluster agama,” katanya. -PAHANGMEDIA

