Oleh : Norhafizan Zulkifli
Foto : Shahrizar Adzhar
KUANTAN, 03 MAC 2026 : Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas dua pertuduhan iaitu mencemarkan al-Quran dan membuat penghantaran komunikasi jelik menerusi aplikasi Threads, bulan lalu.
Tertuduh, Vikneswaran A/L Selvanathan, 21, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Yang Arif Tuan Harmi Thamri Mohamad.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa pada 22 Februari 2026 kira-kira pukul 1.30 tengah hari di sebuah rumah di Lorong Seri Mahkota Aman 13, Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota Aman di sini, telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut agama Islam iaitu sebuah al-Quran dengan niat mengaibkan agama Islam.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa pada tarikh dan masa sama secara sedar membuat dan melakukan penghantaran komunikasi yang jelik melampau sifatnya melalui aplikasi Threads menggunakan akaun “RYANDASELVA” dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(2) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, serta denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan diteruskan selepas sabitan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Encik Shahrizat Ismail bersama Timbalan Pendakwa Raya, Puan Siti Aisyah Abdul Wahab yang memohon satu tarikh sebutan ditetapkan memandangkan tertuduh tidak mengaku bersalah, selain menawarkan jaminan RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Tertuduh yang diwakili peguam Encik Muhammad Amirull Afiqq Mohamad dan Encik Rusnizam Abdullah memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya merupakan pelajar, tidak mempunyai pendapatan dan bergantung kepada keluarga.
Menurut peguam tertuduh, bapa tertuduh yang merupakan penjamin tertuduh bekerja sebagai penternak ikan dengan pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan dan menanggung isteri yang menghidap penyakit jantung serta masalah paru-paru, selain menyara dua anak termasuk tertuduh, ibu kandung, ibu mertua serta seorang adik orang kelainan upaya (OKU).
Pendakwaan bagaimanapun berhujah jumlah jaminan yang ditawarkan adalah munasabah memandangkan kesalahan didakwa serius, berprofil tinggi dan menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 iaitu RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain menetapkan 8 April ini sebagai tarikh sebutan bagi serahan dokumen.
Tertuduh juga turut diperintahkan melapor diri di Balai Polis Jaya Gading di sini pada setiap 1 haribulan setiap bulan sehingga kes selesai. -PAHANGMEDIA

