Oleh : Norhafizan Zulkifli
JERANTUT, 02 MAC 2026 : Kerajaan Negeri Pahang terus membuktikan komitmen dalam menjaga kebajikan dan menghargai jasa bekas anggota keselamatan apabila menyalurkan sumbangan berjumlah RM7,000 kepada Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) Daerah Jerantut, semalam.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan, YB Tuan Haris Salleh Hamzah pada Majlis Berbuka Puasa dan solat Maghrib bersama ahli-ahli PBPM yang berlangsung di Dewan Pejabat PBPM Jerantut, di sini.
Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan bekas anggota keselamatan yang telah banyak berkorban demi keamanan dan kesejahteraan rakyat.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada YAB Dato’ Sri Diraja Wan Rosdy bin Wan Ismail, Menteri Besar Pahang, serta Kerajaan Negeri Pahang atas keprihatinan dan sokongan berterusan terhadap jasa serta kebajikan bekas anggota keselamatan negara yang banyak berjasa kepada tanah air,” katanya.
Tambahnya, sumbangan kepada tabung kebajikan persatuan itu diharap dapat membantu memperkukuh aktiviti serta program kemasyarakatan PBPM di daerah ini.
“Ia sebagai sokongan berterusan terhadap kebajikan ahli-ahli PBPM serta pelaksanaan program-program kemasyarakatan yang dirancang,” ujarnya.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah itu turut menyatukan ahli-ahli persatuan dalam semangat Ramadan, sekali gus mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan setiap lapisan masyarakat, termasuk bekas anggota keselamatan, sentiasa mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya. -PAHANGMEDIA

