Oleh : Norhafizan Zulkifli
KUANTAN, 02 MAC 2026 : Kertas siasatan pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang ditahan berhubung kes penularan foto memaparkan al-Quran dipijak di media sosial akan dirujuk Jabatan Peguam Negara hari ini untuk mendapatkan nasihat dan arahan selanjutnya.
Ketua Polis Pahang, YH. Dato’ Sri Yahaya Othman berkata, kes berkenaan diklasifikasikan dan disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, suspek pada mulanya direman selama empat hari bermula 25 Februari hingga 28 Februari lalu.
“Susulan itu, perintah tahanan reman telah disambung dari 1 Mac 2026 sehingga 3 Mac 2026 bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, setakat ini sebanyak 62 laporan polis telah diterima dari seluruh negara berhubung isu penularan foto tersebut.
“Seramai 43 saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Katnya lagi, kertas siasatan dijangka dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara hari ini bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut selaras dengan Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan serta menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti agama.
“PDRM akan menjalankan siasatan secara telus, profesional dan adil serta tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keharmonian dan keamanan negara,” katanya lagi. -PAHANGMEDIA

